Penahanan salah: Mahkamah Rayuan kekal ganti rugi RM300,000 kepada Khairuddin

Bernama
Mac 11, 2025 16:45 MYT
Pada Ogos 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan Khairuddin bagi penahanan salah dan memberikan pampasan RM300,000 kepada beliau. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi memberikan ganti rugi RM300,000 kepada Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan susulan penahanan salah ahli politik itu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) 2012.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk memberikan ganti rugi RM300,000 kepada Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan atas penahanan salah di bawah Akta Sosma 2012.
  • Rayuan kerajaan, polis, dan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi ditolak, begitu juga rayuan balas Khairuddin untuk pampasan lebih tinggi dan tuntutan pendakwaan dengan niat jahat.
  • Khairuddin ditahan pada 2015 dan didakwa cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara, namun Mahkamah Tinggi memutuskan penahanan tersebut sebagai salah.

Panel tiga hakim diketuai Datuk See Mee Chun membuat keputusan itu selepas menolak rayuan kerajaan, polis dan pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi yang memutuskan mereka bertanggungjawab bagi penahanan salah itu serta jumlah ganti rugi.
See, yang bersidang bersama-sama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, turut menolak rayuan balas Khairuddin bagi jumlah pampasan lebih tinggi serta tuntutan ahli politik itu terhadap kerajaan berhubung pendakwaan dengan niat jahat.
"Kami bersetuju dengan Hakim Mahkamah Tinggi bahawa Plaintif (Khairuddin) telah membuktikan tuntutannya berhubung dakwaan bagi penahanan salah," kata See ketika membacakan keputusan sebulat suara panel itu.
Berhubung isu pendakwaan dengan niat jahat terhadap Khairuddin, beliau berkata perkara itu gagal dibuktikan.
Justeru itu, See memerintahkan Khairuddin, yang juga bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Batu Kawan, dan kerajaan agar menanggung kos perundangan masing-masing dalam kes tersebut.
Pada Ogos 2022, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan Khairuddin bagi penahanan salah dan memberikan pampasan RM300,000 kepada beliau.
Bagaimanapun, Hakim Datuk Quay Chew Soon menolak tuntutan beliau terhadap kerajaan berhubung isu pendakwaan dengan niat jahat.
Menerusi saman yang difailkan pada Mei 2018, Khairuddin mendakwa beliau pada mulanya ditahan oleh pihak berkuasa pada 18 Sept 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan.
Khairuddin berkata selepas mahkamah memerintahkan agar beliau dibebaskan, ahli politik itu ditahan semula pada 23 Sept tahun yang sama di bawah Sosma.
Beliau kemudian didakwa di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L akta sama bagi pertuduhan cuba mensabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara.
Khairuddin menamakan Ketua Polis Negara (ketika itu) Tan Sri Khalid Abu Bakar, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Kerajaan Malaysia, pegawai polis Bukit Aman iaitu Wan Aeidil Wan Abdullah dan Muniandy Chelliah, bekas Timbalan Ketua Polis Dang Wangi Habibi Majinji, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud serta bekas Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud sebagai defendan.
Pada prosiding hari ini, Khairuddin diwakili peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla dan Nurul Huda Razali manakala Peguam Kanan Persekutuan Nur Edziani Roleb, Siti Syakimah Ibrahim serta Peguam Persekutuan Mohd Ashraf Abd Hamid hadir bagi pihak kerajaan.
-- BERNAMA
#penahanan salah #Khairuddin Abu Hassan #rayuan ditolak #SOSMA #terkini
;