Penahanan pegawai kanan Menteri Sumber Manusia keputusan SPRM - PM

Bernama
April 14, 2023 12:54 MYT
Anwar berkata sebagai Perdana Menteri, beliau hanya meminta SPRM untuk mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja sekiranya mempunyai asas untuk berbuat demikian. - Gambar fail/BERNAMA
BUKIT MERTAJAM: Penahanan beberapa pegawai kanan kepada Menteri Sumber Manusia V Sivakumar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan keputusan badan itu sepenuhnya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata sebagai Perdana Menteri, beliau hanya meminta SPRM untuk mengambil tindakan kepada sesiapa sahaja sekiranya mempunyai asas untuk berbuat demikian.
"Jangan kita mendahului daripada segi menjangka apa-apa yang lain kerana saya tidak ada pemakluman selain daripada dimaklum tentang penahanan (jika) tak salah tiga orang pegawai di kementerian (sumber manusia)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang di sini hari ini.
Media melaporkan pegawai kanan kepada V Sivakumar ditahan SPRM dalam serbuan di kementerian itu pagi semalam sementara seorang lagi pegawai kanan kepada menteri berkenaan ditahan hari ini bagi membantu siasatan.
Penahanan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan dakwaan suspek telah menubuhkan sebuah agensi pengambilan pekerja asing untuk mendapatkan kelulusan kementerian berkenaan walaupun terdapat konflik kepentingan.
-- BERNAMA
#penahanan pegawai kanan #Menteri Sumber Manusia #SPRM #Perdana Menteri Anwar Ibrahim