Penahanan LTTE: Polis ambil tindakan berdasarkan bukti kukuh - Muhyiddin
Fareez Azman
Oktober 16, 2019 13:10 MYT
Oktober 16, 2019 13:10 MYT
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tindakan penahanan beberapa individu yang dikaitkan dengan kumpulan pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di negara ini adalah berdasarkan bukti kukuh dan hasil risikan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador boleh sahkan, bukan ambil satu insiden ‘isolated’ kita teliti sepanjang masa, ada sumber risikan siasatan terus dilakukan bahagian cawangan khas kita.
“Sebab itu kita berpendapat sudah cukup banyak bukti, jadi disahkan Timbalan Pendakwa Raya (ada) asas kukuh, maka tindakan undang-undang diambil ke atas mereka bersabit kes LTTE ini,” katanya pada sidang media sempena Sambutan Hari Pendaftaran Negara di Jabatan Pendaftaran Negara di sini pada Rabu.
Malah katanya, wujud elemen pengganas dalam risikan yang dilakukan.
Tambah Muhyiddin, sehingga kini pemantauan terus dijalankan untuk mengesan dan menangkap mana mana individu yang dikaitkan dengan kumpulan pemberontak itu untuk dibawa ke muka pengadilan.
“Sebab itu kita tidak boleh ambil kes itu saja. Begitu juga kes terbukti bahawa ada elemen keganasan, mereka terbabit telah dihukum.
“Jadi tidak boleh dikatakan ‘isolated’, Sekarang sudah dua tahun berlaku. Polis pantau jangka masa panjang dan bukti telah ada kita serah kepada pihak mahkamah, kemudian dia akan di sabit kesalahan,” ujar Muhyiddin.
#keganasan
#Ketua Polis Negara
#LTTE
#mahkamah
#Malaysia
#Muhyiddin Yassin
#PDRM
#pengganas
#polis
#Polis Diraja Malaysia