Penagih tikam Pembantu Antidadah diberkas
Bernama
September 2, 2019 06:45 MYT
September 2, 2019 06:45 MYT
Seorang penagih yang menikam Pembantu Antidadah dengan senjata tajam sehingga cedera di Pusat Khidmat Pemulihan dan Penjagaan (CCSC) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sibu di Jalan Lanang Ahad malam, telah ditahan polis bantuan Samalaju Park kira-kira 1 tengah hari, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek berusia 18 tahun berasal dari Miri ditahan dua anggota polis bantuan ketika hendak melalui pintu utama dalam keadaan mencurigakan dan menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas suspek telah menjumpai sebilah pisau kecil terdapat kesan darah di dalam raga motosikal dan dompet mengandungi dokumen dan kad peribadi milik mangsa di dalam poket seluar suspek. Kesemua barangan itu telah dirampas.
Beliau berkata, turut dirampas ialah serangkai kunci dan motosikal jenis Honda Wave warna merah yang ditunggangi suspek.
"Suspek juga mengaku telah melarikan diri dari pusat pemulihan AADK Sibu dan ke Bintulu dengan menaiki motosikal Honda Wave milik mangsa.
"Suspek kemudian ditahan bersama barang-barang yang dijumpai dan dibawa ke Balai Polis Tanjung Kidurong untuk tindakan lanjut. Suspek akan direman di Bintulu," katanya kepada Bernama malam tadi.
Dalam kejadian lebih kurang 8.18 malam Ketua AADK Daerah Sibu, Lu Ting Pin menerima panggilan daripada mangsa Juing Anak Garai, 38 yang memintanya datang segera ke CCSC AADK Sibu kerana cedera.
Lu, tiba di pusat tersebut 8.30 malam, terus pergi ke bilik rehat anggota dan melihat Juing dalam keadaan tidak bermaya dan berlumuran darah di dadanya.
Mangsa telah dikejarkan ke Hospital Sibu menggunakan ambulans untuk menerima rawatan.
Stanley berkata, suspek pada asalnya memohon secara sukarela untuk ditempatkan di CCSC Miri tetapi disebabkan pusat itu telah penuh suspek bersetuju mendaftar di CCSC Sibu pada 8 Julai untuk menjalani rawatan dan pemulihan selama tiga bulan yang dijadualkan berakhir 7 Oktober tahun ini.
"Mangsa memberitahu dia ditikam oleh suspek dengan senjata tajam dan tidak tahu kenapa dia ditikam kerana ketika itu dia sedang tidur di dalam bilik rehat seorang diri," jelasnya.
Beliau berkata, mangsa kini sedang menjalani rawatan di Hospital Sibu dan keadaannya tidak serius.
-- BERNAMA
#Bintulu
#cedera
#Dadah
#kesan darah
#mangsa
#Miri
#motosikal
#Pembantu Antidadah
#penagih
#pisau
#polis
#senjata tajam
#Sibu
#Stanley Jonathan Ringgit
#suspek
#tikam