Penagih dadah menyamar polis peras ugut warga asing ditahan
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 4, 2019 19:12 MYT
Februari 4, 2019 19:12 MYT
Padah menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut warga asing, seorang penagih dadah akhirnya dicekup polis.
Lelaki berusia 33 tahun yang juga bekas anggota sukarelawan polis (PVR) ditahan di Bertam Perdana, Kepala Batas, Sabtu lalu selepas berada dalam keadaan mencurigakan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki itu ditahan selepas polis menerima aduan daripada seorang lelaki warga asing pada Jumaat mengenai kegiatan suspek yang melakukan pemerasan.
Suspek bertindak menahan seorang lelaki warga asing yang menunggang motosikal sambil memperkenalkan dirinya sebagai polis.
Selain itu, suspek juga dikatakan telah meminta mangsa menyerahkan wang tunai RM1,000 selepas lelaki itu didapati menunggang tanpa lesen.
Noorzainy berkata, suspek yang menyamar sebagai anggota polis itu sebenarnya sudah ditamatkan perkhidmatan sebagai anggota PVR sejak dua tahun lalu selepas didapati positif dadah.
"Suspek bekerja sebagai sukarelawan polis, uniform (seragam) dia tak serahkan dan menyasarkan warga asing. Dia didapati terlibat dalam empat kes," katanya dalam sidang media, hari ini.
Menurutnya, lelaki terbabit direman selama empat hari sehingga Selasa bagi membantu siasatan.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 384 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
#anggota sukarelawan polis
#Bertam Perdana
#menyamar polis
#penagih dadah
#peras ugut
#PVR
#Seksyen 170 Kanun Keseksaan
#sukarelawan polis