Penagih dadah larikan diri selepas tikam anggota AADK di dada
Astro Awani
September 2, 2019 15:35 MYT
September 2, 2019 15:35 MYT
Seorang anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) cedera di dada selepas ditikam dengan pisau oleh penagih dadah yang berjaya melarikan diri dari Pusat Khidmat Pulih dan Rawat (CCSC), di Jalan Ulu Lanang di sini semalam.
Dalam kejadian jam 8.30 pada malam Ahad, mangsa berusia 38 tahun yang mengalami cedera parah dibawa ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan.
Mangsa sedang menerima rawatan di wad manakala suspek yang berusia 18 tahun telah melarikan dompet dan motosikal milik mangsa.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai kejadian oleh ketua AADK Daerah Sibu (pengadu) pada jam 10.15 malam itu.
"Suspek telah melarikan diri dari pusat pemulihan itu dan usaha mengesan suspek giat dilakukan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, pengadu yang tiba di lokasi terus naik ke bilik rehat anggota dan mendapat mangsa dalam keadaan tidak bermaya dan berlumuran darah di dadanya.
Stanley berkata, siasatan awal mendapati suspek sebelum ini memohon secara sukarela untuk ditempatkan di CCSC Miri.
"Oleh kerana CCSC Miri penuh ketika itu, dia bersetuju untuk ditempatkan di CCSC Sibu dan mendaftar masuk pada 8 Julai lalu untuk tempoh tiga bulan sehingga 7 Oktober tahun ini.
"Siasatan juga mendapati mangsa ditikam dengan senjata tajam ketika dia sedang tidur di dalam Bilik Rehat Anggota bersendirian di tingkat atas bangunan," tambahnya.
Katanya lagi, selain motosikal, barang milik mangsa termasuk dompet mengandungi kad pengenalan, kad ATM dan wang tunai yang tidak pasti jumlahnya turut hilang diambil oleh suspek.
"Motif awal setakat ini dipercayai suspek mahu melarikan diri dari pusat tersebut," jelasnya.
Katanya, keadaan mangsa kini dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan lanjut di wad Hospital Sibu.
Kes disiasat dibawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata menggunakan pisau.
#anggota AADK cedera
#anggota AADK ditikam di dada
#Jalan Ulu Lanang
#penagih dadah
#Sibu
#Stanley Jonathan Ringgit