Perlis mencatat peningkatan 100 peratus bilangan penagih sehingga Julai tahun ini iaitu 1,413 orang berbanding 738 pada tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis, Azizah Ahmad berkata jumlah itu menunjukkan pertambahan 675 penagih baharu dan berulang termasuk 40 daripadanya adalah penagih wanita.

"Bilangan penagih dalam kalangan wanita juga meningkat berbanding hanya 19 orang pada tempoh sama tahun lepas," menurut Azizah dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Semalam, AADK Perlis menahan dua wanita di sebuah rumah usang di Batu 20, Jalan Padang Besar di sini pagi tadi kerana didapati positif dadah.

Kedua-dua wanita berkenaan masing-masing berusia 26 tahun ditahan dalam Operasi (Op) Cegah 17/2016 kira-kira 2.30 pagi, setelah menerima maklumat orang awam tentang kegiatan mereka.

Semasa serbuan dilakukan, kedua-dua wanita yang sudah berkahwin itu berada dalam keadaan khayal serta dipercayai baru saja selesai melepaskan ketagihan. Serbuan tersebut turut mendapati tiga kanak-kanak berusia setahun hingga empat tahun tinggal bersama mereka dan dipercayai adalah anak kepada seorang daripada wanita berkenaan.

Ujian air kencing mendapati mereka berdua positif dadah jenis methamphetamine dan mereka dibawa ke Pejabat AADK Perlis Utara untuk tindakan mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.