Penagih dadah cuba cederakan polis dengan pisau
Bernama
Ogos 31, 2016 17:10 MYT
Ogos 31, 2016 17:10 MYT
Seorang penagih dadah bertindak melibas sebilah pisau ke arah sepasukan polis yang menjalankan pemeriksaan di rumahnya di Kubang Semang, di sini dalam Ops Ambang Merdeka tengah malam tadi bagi mengelak dirinya ditahan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata bertindak hasil maklumat dan risikan, pihaknya membuat serbuan di rumah lelaki berusia 38 tahun berkenaan kira-kira pukul 12.35 malam.
"Pegawai polis yang menyerbu rumah lelaki itu memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa polis sebelum tiba-tiba suspek bertindak mengeluarkan sebilah pisau yang diselitkan di pinggangnya dan melibas ke arah kami.
"Telah berlaku pergelutan antara polis dan lelaki itu ketika kami cuba merampas pisau berkenaan sebelum suspek berjaya ditahan serta senjata tersebut turut dirampas," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Katanya pemeriksaan mendapati lelaki itu mengalami kecederaan kecil akibat pergelutan semasa hendak menangkapnya manakala anggota polis tidak mengalami kecederaan.
Katanya, ujian air kencing mendapati lelaki yang bekerja sendiri itu positif dadah dan polis tidak menolak kemungkinan dia turut terlibat beberapa jenayah lain.
"Siasatan juga mendapati dia mempunyai empat rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah. Lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan," katanya.
Nik Ros Azhan berkata dalam operasi yang sama di Bukit Tengah, pihaknya menahan enam lelaki yang memang dikehendaki polis bersabit kes gaduh di SPT baru-baru ini.
"Selain itu, dalam Ops Ambang Merdeka berkenaan polis turut menahan tujuh lelaki yang positif dadah dalam serbuan dan pemeriksaan di sekitar Bukit Mertajam serta Juru di sini," katanya.
Siasatan awal mendapati ada antara mereka yang ditahan disyaki mengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan berkenaan, katanya dan menurutnya semua yang ditahan direman untuk siasatan.