[PENAFIAN] Berita Iqram Dinzly, Bitcoin Future tidak pernah wujud

Astro Awani
Julai 24, 2019 15:29 MYT
Penafian dibuat selepas munculnya sebuah laman web berita atas talian yang mendakwa kononnya Iqram Dinzly pernah ditemuramah pengacara Astro AWANI, Ibrahim Sani berkenaan dengan saham syarikat Bitcoin Future. Astro AWANI.
Saluran berita Astro AWANI membuat penafian secara tegas, bahawa berita berkenaan pelakon Iqram Dinzly, serta syarikat yang dikaitkan dengannya, Bitcoin Future, tidak pernah disiarkan di mana-mana rancangan di stesen ini.
Penafian dibuat selepas munculnya sebuah laman berita atas talian (blografias.com/product/sempadan) yang mendakwa kononnya Iqram Dinzly pernah ditemuramah pengacara Astro AWANI, Ibrahim Sani, berkenaan dengan saham syarikat tersebut.
Artikel bertajuk 'Iqram Dinzly mendedahkan bagaimana dia menjana RM8.6 juta selepas kemuflisan - dia mendakwa sesiapa sahaja boleh melakukannya dan menunjukkan 'Awani Review' bagaimana untuk melakukannya' itu disiarkan pemilik blog berkenaan pada 24 Julai (Rabu).
BACA: [PENAFIAN] Shaheizy Sam, Bitcoin Future tidak pernah muncul di Astro AWANI
Sebelum ini, Astro AWANI pernah melaporkan hal serupa kepada pihak berkuasa dan sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan nama baik syarikat ini.
Satu artikel bertajuk 'Shaheizy Sam mendedahkan bagaimana dia menjana RM8.6 juta selepas kemuflisan - dia mendakwa sesiapa sahaja boleh melakukannya dan menunjukkan 'Awani Review' bagaimana untuk melakukannya' sebelum ini turut mendapat perhatian pihak kami selepas pelakon berkenaan didakwa ditemu bual oleh Ibrahim.
#Astro Awani #Bitcoin Future #ibrahim sani #Iqram Dinzly #palsu #Penafian #Semak Fakta