PENA lancar projek penerbitan buku sastera, sasar 100 judul tahun ini

Pia Ernadya
Julai 31, 2024 11:56 MYT
PENA membuka peluang kepada penulis tempatan untuk menerbitkan karya sastera melalui projek penerbitan buku PENA-MALAYSIA MADANI. - Foto Bernama
PETALING JAYA: Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) membuka peluang kepada penulis tempatan untuk menerbitkan karya sastera melalui projek penerbitan buku PENA-MALAYSIA MADANI dengan mensasarkan sebanyak 100 judul buah buku penerbitan tahun ini.
Menurut Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, 100 judul buah buku itu akan merangkumi genre khususnya seperti sastera, buku umum serta buku bergambar kanak-kanak.
"Sebanyak 100 judul akan diterbitkan dalam program ini. Insya-Allah, kami mahu menerbitkannya dalam tempoh enam bulan selepas manuskrip diterima. Kami usahakan supaya tidak berlarut-larutan kerana inisiatif belanjawan ini diberikan kepada PENA untuk tahun ini dan kalau kami lewat menyelesaikan kerja ini, ia akan menjadi satu imej yang tidak baik untuk pihak kami.
"Oleh itu, kami akan cuba menyelesaikan penerbitan dalam tempoh enam bulan selepas diserahkan manuskrip," katanya dalam sidang media pelancaran penerbitan Buku PENA-MALAYSIA MADANI pada Rabu.
Jelasnya lagi, penerimaan manuskrip juga akan bermula esok iaitu 1 Ogos sehingga 15 November dan prosesnya akan melalui penilaian, suntingan, 'proof-read' dan penghasilan grafik.
"Penulis juga akan diberi royalti secara 'up-front' dan PENA akan mencetak sebanyak 1,000 naskhah untuk setiap judul manakala 10 peratus daripada harga jualan buku akan diberi mengikut harga jualan.
Melalui projek yang diberikan peruntukan sebanyak RM2.5 juta oleh kerajaan ini, PENA berharap dapat melahirkan generasi penulis baharu yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
"Kami percaya setiap penulis memiliki potensi yang luar biasa. Melalui projek penerbitan ini, kami ingin memberikan mereka peluang dan kesempatan untuk mengembangkan bakat dan berkarya secara maksimum," ujar beliau lagi.
#Pena #Malaysia Madani #Persatuan Penulis Nasional Malaysia #penulis tempatan #penerbitan buku #karya sastera