Pemvaksinan barisan hadapan sektor perdagangan, pengedaran dijangka minggu depan - Nanta
Bernama
Julai 7, 2021 23:07 MYT
Julai 7, 2021 23:07 MYT
BENTONG: Pemberian vaksin COVID-19 kepada hampir 500,000 individu barisan hadapan sektor perdagangan dan pengedaran dijangka bermula minggu hadapan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata perincian terakhir program sedang dimuktamadkan dan pemberian vaksin itu dapat memberi kelegaan serta rasa selamat kepada mereka yang terlibat untuk berurusan dengan orang ramai setiap hari.
"Mereka juga merupakan entiti penting kepada kesejahteraan rakyat untuk meneruskan hidup dengan membekalkan barang makanan dan keperluan harian.
"Kita juga mengambil maklum peningkatan jangkitan dalam kalangan pekerja sektor peruncitan dan pengedaran kebelakangan ini yang menyebabkan premis perniagaan ditutup sehingga menimbulkan kesukaran kepada pengguna mendapatkan bekalan asas," katanya.
Nanta berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pelaksanaan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) premis perniagaan di bawah Fasa Dua Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM4.06 juta bagi pelbagai kesalahan berkaitan SOP dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 13 Mei tahun lepas hingga semalam (6 Julai).
Bagi tempoh sama, Nanta berkata 634,350 premis telah diperiksa KPDNHEP dan daripada jumlah itu, 714 kesalahan dikesan temasuk tidak menyediakan pengimbas suhu dan gagal memastikan aspek penjarakan fizikal.
Ditanya mengenai keluhan sesetengah penyewa kedai dan kios di dalam kompleks beli-belah atau pasar raya besar yang perlu membayar sewa walaupun tidak beroperasi buat masa ini, Nanta berkata KPDNHEP sedia menjadi orang tengah untuk mencari penyelesaian isu berkenaan.
"Ini adalah antara pemilik bangunan dengan penyewa, bagaimanapun kami sedia membantu jika ada aduan dikemukakan. Kami sedia berbincang dengan pemilik atau pengurusan dan dalam masa sama, merayu supaya mereka prihatin dengan nasib penyewa yang memerlukan bantuan dalam masa genting ini," katanya.
Berhubung aduan masih ada yang menjual minyak masak lima kilogram dengan harga melebihi RM30, Nanta berkata ia mungkin disebabkan peniaga masih belum menghabiskan stok minyak masak yang dibeli sebelum pengumuman harga siling itu dibuat, namun menegaskan KPDNHEP sedia menyiasat jika menerima aduan.
-- BERNAMA
#KPDNHEP
#pemvaksinan
#Alexander Nanta Linggi
#COVID-19
#barisan hadapan
#sektor perdagangan
#pengedaran
#vaksin
#PICK