Pemuzik jalanan dipenjara ajar isteri ajaran sesat Millah Abraham

Sinar Harian
Julai 11, 2024 19:50 MYT
Norasid diiring penguat kuasa JHEAINS ketika hadir ke mahkamah. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Seorang pemuzik jalanan dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis atas pertuduhan mengajar ajaran sesat berkaitan Millah Abraham terhadap isterinya, tahun lalu.
Hakim, Ruzita Ramli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Norasid Md Said, 50, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.
Mahkamah turut memerintahkan tambahan hukuman penjara sebulan lagi sekiranya tertuduh gagal menjelaskan denda terbabit.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada isterinya yang berusia 51 tahun dengan menyatakan 'selepas kewafatan Nabi Muhammad akan muncul Rasul baru'.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah Felda Palong 3, Gemas di Tampin antara 1 September hingga 30 September 2023.
Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992, pindaan 2019.
Sabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Sebelum itu, Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Ramli memohon mahkamah mengenakan hukuman denda maksimum dan pemenjaraan.
Beliau turut berpandangan yang kesalahan dilakukan adalah berat yang berkaitan dengan akidah dan boleh memberi kemudaratan kepada agama.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudiannya merayu dikenakan hukuman ringan dan mengaku telah bertaubat serta tidak akan mengulanginya lagi.
Selain itu, tertuduh tidak mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah seksyen sama iaitu mengajar ajaran salah yang berlawanan dengan hukum syarak kepada isterinya dengan menyatakan 'solat itu syirik kerana kita melakukan perbuatan sujud seperti menyembah sesuatu objek' dan berkaitan lafaz syahadah yang berlawanan dengan hukum syarak iaitu 'aku bersaksi tiada Tuhan yang disembah melainkan Tuhan semesta alam dan Rasul Mensiah adalah pesuruh tuan sekalian alam'.
Kesalahan itu dilakukan di lokasi sama antara 1 hingga 30 Jun 2023 dan 1 hingga 31 Ogos 2023.
Abdul Wafi meminta mahkamah supaya tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh dan menahannya di dalam penjara sehingga kes selesai dibicarakan.
Ini kerana katanya, sekiranya tertuduh bebas dikhuatiri boleh mengganggu keselamatan isterinya yang tinggal di dalam rumah yang sama.
Namun jelasnya, sekiranya mahkamah membuat pertimbangan untuk beri jaminan kepada tertuduh, pihak pendakwaan memohon jaminan RM10,000 dengan dua penjamin serta perlu melapor diri di pejabat penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) dua minggu sekali.
Norasid memberitahu dia tidak mampu membayar jaminan kerana perlu menanggung isteri dan tiga anak.
"Saya bekerja sendiri dengan mengambil upah mesin rumput, memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan 'buskers'.
"Saya juga ada sakit HIV, darah tinggi dan masalah jantung yang masih dalam rawatan," katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM2,000 dengan dua penjamin untuk kedua-dua pertuduhan dan perlu melapor diri di pejabat penguatkuasa JHEAINS dua minggu sekali.
Sekiranya tertuduh gagal membayar jaminan tersebut, dia akan dipenjarakan dan sebutan semula kes 7 Oktober depan.
Pendakwaan turut dikendalikan dua lagi Pendakwa Syarie iaitu Mohd Hafiz Mohd Lazim dan Mohd Amil Yahya.
Sebelum ini media melaporkan, tiga beranak dipercayai pengikut ajaran sesat Millah Abraham ditahan JHEAINS dalam serbuan di dua buah rumah berasingan di Sungai Kelamah, Gemas dan Palong 3, Jempol pada Rabu.
Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan JHEAINS, Ahmad Zaki Hamzah berkata, pasangan suami isteri berusia 40-an serta anak lelaki mereka berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang.
*Artikel disiarkan di Sinar Harian
#pemuzik jalanan dipenjara #ajar isteri ajaran sesat #ajaran Millah Abraham #Norasid Md Said #Mahkamah Tinggi Syariah Seremban
;