SIK: Kerajaan akan melaksanakan pemutihan dan mengemas kini data eKasih bagi memastikan hanya individu yang dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar berada dalam pangkalan data itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata proses yang akan dilaksanakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri itu akan dimulakan tahun hadapan.

"ICU akan melakukan pemutihan terhadap angka yang ada dalam senarai eKasih kerana angka ini penting untuk membolehkan kerajaan membantu mereka yang memerlukan, selain memastikan tidak ada rakyat yang layak tertinggal daripada menerima bantuan.

"Langkah ini juga selaras dengan hasrat kerajaan menjelang 2025 kita dapat hapuskan golongan miskin tegar iaitu suami isteri dan dua orang anak dengan pendapatan isi rumah RM1,169 sebulan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan lawatan kerja ke daerah ini termasuk menziarahi penerima bantuan program Kasih Ibu Darul Aman (KIDA) dan menemui peneroka Felda Teloi Timur di sini.

Mustapa berkata setakat 22 Okt lepas seramai 506,669 individu tersenarai dalam pangkalan data eKasih dengan 244,037 dikategorikan sebagai miskin dan 262,632 miskin tegar.

Beliau berkata kerajaan turut bercadang untuk memilih satu atau dua kawasan di setiap negeri yang mempunyai kadar miskin tegar yang tinggi untuk dilaksanakan program pembangunan lebih holistik bagi menangani masalah itu.

"Jadi di Kedah ini kerajaan negeri mencadangkan supaya kita pilih satu kawasan di Sik, kawasan yang ramai penduduknya miskin tegar, maka kawasan itu kita akan laksanakan kaedah baharu (program pembangunan) secara holistik dan komprehensif," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tinjauannya ke Felda Teloi Timur, Mustapa berkata terdapat beberapa masalah yang dihadapi peneroka di situ yang perlu diberi perhatian segera termasuk berkaitan infrastruktur dan harga getah yang rendah.

-- BERNAMA