Pemutihan bas sekolah selewat-lewat tahun depan
Hilmi Malik
Disember 3, 2018 13:02 MYT
Disember 3, 2018 13:02 MYT
Kementerian Pengangkutan bercadang untuk melaksanakan proses pemutihan bagi pengusaha bas sekolah tidak berdaftar selewat-lewatnya tahun depan.
Menterinya, Anthony Loke Siew Foo berkata isu ini bas sekolah tidak berdaftar bukan perkara yang baru malah telah wujud sejak 30 tahun lalu.
"Perkara ni bukan benda baru, dan pihak kementerian bercadang untuk laksanakan proses pemutihan terhadap pengusaha yang tidak miliki permit sah, katanya di sini pada Isnin.
Menurut Loke, kerjasama dari pihak ibu bapa amat penting dalam memastikan pengangkutan yang dinaiki anak mereka mengikut piawaian yang telah ditetapkan.
"Ibu bapa perlu ambil tahu dan pastikan kenderaan yang anak-anak mereka naiki itu selamat dan mengikut syarat yang sepatutnya termasuk pemeriksaan keselamatan, insurans agar keselamatan mereka terjamin" katanya lagi.
Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia kali ke-7.
Setakat ini sebanyak hanya 14,800 syarikat bas persekolahan yang berdaftar secara sah.