Pemungut hutang ke tali gantung

Astro Awani
Oktober 8, 2018 16:19 MYT
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut. - Gambar hiasan
Seorang pemungut hutang dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar dadah tiga tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes tersebut.
Selain itu, Abdul Wahab turut memerintahkan tertuduh, Keow Sze Teve, 36 tahun, menjalani hukuman penjara selama 16 tahun dan dikenakan 12 sebatan atas empat lagi pertuduhan iaitu dua membabitkan pemilikan senjata api dan dua kes pemilikan amunisi atau peluru tanpa lesen.
Bagi dua pertuduhan dadah Keow dituduh mengedar seberat 512.2 gram dan 474 gram dadah jenis Methamphetamine.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Mankala bagi kesalahan berkaitan pemilikan senjata api pula, tertuduh didapati memiliki dua pucuk pistol berjenama Coughar 8000 FT dan Pietro Beretta Gardone VT dan didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan dikenakan enam sebatan jika sabit kesalahan.
Sementara itu, bagi kesalahan berkaitan pemilikan amunisi atau peluru tanpa lesen, tertuduh didapati memiliki 32 butir peluru jenis S&B 9X9 12 dan 15 butir peluru S&B 40 S&W dan juga 12 butir peluru RA1 10 LUGER 9MM.
Kedua-dua kesalahan itu pula didakwa di bawah Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang jika didapati bersalah, boleh dipenjara tidak melebih tujuh tahun atau didenda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Kesemua kesalahan itu dilakukan pada tarikh dan masa yang iaitu kira-kira jam 2 pagi di Jalan Impian Ria, Taman Impian Ria, Machang Bubok, dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pada 19 Jun 2015.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya S.Selvaranjini manakala tertuduh diwakili peguam C. Ravi.
Sementara itu, di luar kamar mahkamah, tertuduh sempat bertemu dengan ahli keluarga dan juga anak perempuannya berusia tiga tahun yang hadir mengikuti keputusan kes.
#Abdul Wahab Mohamed #API #Hukuman #keow sze teve #mahkamah #Mahkamah Tinggi Pulau Pinang #mati #penjara #tali gantung
;