Pemuliharaan hidupan liar di habitat asal perlu diperkukuh
Bernama
Mac 3, 2023 15:41 MYT
Mac 3, 2023 15:41 MYT
PUTRAJAYA: Usaha pemuliharaan hidupan liar di habitat asal perlu diperkukuh bagi mewujudkan persekitaran yang kondusif dan meminimumkan konflik antara manusia dan hidupan liar, kata Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam perutusan sempena Hari Hidupan Liar Sedunia 2023 hari ini, beliau berkata konflik manusia dan hidupan liar boleh menyebabkan kehilangan nyawa, kecederaan, kemusnahan tanaman, kematian ternakan serta kemusnahan harta benda.
Menurut Nik Nazmi seramai 25 orang telah meninggal dunia dan 270 lagi mengalami kecederaan akibat diserang oleh hidupan liar pada 2018 hingga 2022, manakala jumlah keseluruhan anggaran kerugian dalam tempoh tersebut akibat serangan spesies utama hidupan liar pula berjumlah RM43.3 juta.
Beliau berkata antara usaha untuk memulihara dan memelihara hidupan liar adalah melalui penguatkuasaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 [Akta A1646], penyediaan insentif konservasi biodiversiti dan hutan (Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti (EFT), pelantikan renjer komuniti dan Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di bawah Program Perlindungan dan Rondaan Biodiversiti (BP3).
Beliau berkata pengukuhan operasi penguatkuasaan pula telah berjaya merampas pelbagai produk hidupan liar seperti gading gajah, sumbu badak, sisik tenggiling dan kayu Red Sanders yang cuba diseludup melalui Malaysia sebagai destinasi transit.
Nik Nazmi berkata kejayaan Malaysia menyenaraikan Burung Barau-barau (Pycnonotus zeylanicus) ke Apendiks I Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Fauna dan Flora Liar Terancam (CITES) dan Burung Murai Batu (Kittacincla malabarica) dalam Apendiks II CITES di 19th Meeting of the Conference of the Parties to CITES (CoP19) pada tahun lepas jelas menunjukkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan hidupan liar negara dilindungi agar tidak diancam kepupusan.
Malaysia adalah ahli CITES sejak 18 Jan 1978.
CITES bertanggungjawab memastikan perdagangan antarabangsa spesies fauna dan flora terancam tidak menjejaskan kemandirian spesies di samping meningkatkan keberkesanan usaha pemeliharaan hidupan liar di habitatnya.
-- BERNAMA