Pemuliharaan gajah Pygmy perlu penyelesaian jangka panjang

Astro Awani
Januari 30, 2013 11:12 MYT
Tabung Hidupan Liar, WWF-Malaysia melahirkan rasa bimbang tentang kejadian gajah Pygmy yang mati dia Hutan Simpan Gunung Rara baru-baru ini.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia, Datuk Dr Dionysius S K Sharma dalam satu kenyataan berkata, WWF-Malaysia menyediakan bantuan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah dan merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas yang telah ditubuhkan oleh jabatan tersebut untuk terus menyiasat perkara ini.
“Pasukan rondaan kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Hidupan Liar Sabah dalam mencari punca kejadian,” kata Dr Dionysius.
Menurut laporan, semua kematian tersebut berlaku di kawasan hutan yang sedang diubahsuai menjadi kawasan perladangan di dalam hutan simpan kekal itu.
“Landskap hutan di Sabah perlu dilindungi sepenuhnya. Semua kelulusan penukaran status perlu dikaji semula oleh Jabatan Perhutanan Sabah dan dinilai bukan semata-mata daripada segi komersial tetapi juga daripada perspektif spesis terancam dan ekologi landskap.
“Penukaran status membawa kepada penerokaan hutan dimana ia akan menyebabkan kehilangan habitat semula jadi bagi kumpulan gajah tersebut, sekali gus memaksa mereka mencari makanan dan habitat alternatif,” tambah Dr Dionysius.
Menurut beliau, penyelesaian jangka panjang yang holistik amat diperlukan untuk menangani dan mengurangkan masalah.
Beliau berkata, status gajah perlu dinaikkan kepada status 'dilindungi sepenuhnya' di bawah Bahagian 1 Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Sabah, seperti yang dicadangkan dalam Pelan Tindakan Gajah Jabatan Hidupan Liar Sabah 2012-2016, tetapi masih belum dilaksanakan.
“Rondaan berskala besar dan kerap adalah penting bagi mengelakkan konflik ini daripada berlaku lagi. Walau bagaimanapun, memandangkan kawasan yang memerlukan rondaan ini amat luas, ia merupakan satu tugas yang berat untuk Jabatan Hidupan Liar Sabah.
“Sumber yang banyak termasuk perkakasan, tenaga manusia dan kewangan harus diperuntukkan bagi Jabatan. Program Warden Kehormat Hidupan Liar yang sedia ada amat berguna dan perlu ianya perlu diperluaskan,” beliau berkata.
Gajah Pygmy Borneo ini merupakan satu spesies yang terancam. Buat masa ini hanya terdapat kira-kira 1,200 ekor gajah unik ini di Sabah dan Borneo.
sehingga kini 13 bangkai gajah terancam ini ditemui mati di tengah-tengah hutan Sabah yang juga merupakan sebahagian daripada Borneo.
#gajah pygmy #WWF-Malaysia