Pemulihan menerusi aktiviti lasak kaedah baharu rawat ketagihan dadah
Bernama
Oktober 5, 2023 13:21 MYT
Oktober 5, 2023 13:21 MYT
SEPANG: Pendekatan adventure recovery atau pemulihan menerusi aktiviti lasak menjadi kaedah baharu diperkenal Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi merawat penagihan narkotik di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sepang.
Pengarah Puspen Sepang Nik Muhammad Nik Dir berkata pusat itu menjadi perintis kepada pendekatan tersebut dikenali sebagai Sepang Eco-Challenge and Outdoor Recovery Park (i-SCORE) yang dilancar secara rasmi oleh Ketua Pengarah AADK Sutekno Ahmad Belon pada September lepas.
"Puspen Sepang masih lagi berpaksikan kepada rawatan pemulihan menggunakan model utamanya iaitu i-PULIH. Cumanya kita mempunyai nilai tambah yang mengetengahkan pendekatan 'adventure recovery'.
"Kita mahu melihat pendekatan ini lebih bersifat kontemporari dan bersesuaian dengan kumpulan sasar yang sedang kita berurusan iaitu klien (penagih narkotik) yang merupakan golongan belia," katanya selepas program Sihat dan Cergas Sepang Eco Park Challenge bersama media di sini, baru-baru ini.
Antara aktiviti pemulihan di Puspen Sepang itu ialah permainan sukan lasak All Terrain Vehicle (ATV), berkhemah, berbasikal dan aktiviti motosikal lasak.
Lebih menarik di Puspen Sepang, Nik Muhammad berkata semua persiapan aktiviti lasak itu seperti trek ATV, menara buluh dan pelbagai kemudahan yang terdapat di sana dibina oleh klien dan petugas pusat berkenaan.
"Kami bergotong-royong membina trek sepanjang 3.2 kilometer ini. Daripada kawasan hutan semak dan hanya menggunakan cangkul dan beberapa alatan lain, kami berjaya menghasil laluan ini dan ia pencapaian yang boleh dibanggakan," katanya.
Beliau berkata dalam usaha memastikan program pemulihan dapat dilaksana kepada klien, AADK juga berhubung rapat dengan masyarakat dengan turut membuka i-SCORE untuk orang awam yang berminat menyertai aktiviti lasak yang ditawarkan di Puspen Sepang.
"Orang awam turut dialu-alukan sertai i-SCORE dan merasai sendiri pengalaman pelbagai aktiviti lasak yang terdapat di sini selain klien juga berpeluang berinteraksi dengan mereka sebagai pengendali aktiviti tersebut, tetapi perlu membuat tempahan awal dan dikenakan sedikit bayaran.
"Seratus peratus klien di pusat ini akan terlibat dalam aktiviti itu. Mereka berperanan sebagai pengusaha dan mengoperasikan i-SCORE. Sebagai orang yang mengoperasikan aktiviti tersebut, secara tidak langsung mereka ini lebih terdedah kepada segala aspek pengoperasian, penyelenggaraan dan khidmat pelanggan," katanya.
Seorang klien pusat itu yang dikenali sebagai Apek, 32, berkata pada awalnya diau sendiri tertanya-tanya kenapa Puspen Sepang tidak seperti Puspen lain kerana mereka diminta melakukan aktiviti luar dan tidak masuk ke kelas seperti kebiasaan.
"Sebelum ini saya menerima rawatan di Puspen Ruan di Raub, Pahang. Apabila ditukarkan ke sini Mei lepas, ia seperti berubah 360 darjah. Di sini, kami diajar nilai kehidupan yang sebenar. Memang sakit pada mulanya untuk membina kemudahan seperti apa yang semua lihat sekarang ini.
"Apabila siap i-SCORE, baru saya faham kenapa pengarah (Nik Muhammad) mengarahkan kami melapangkan kawasan hutan di sini. Rupa-rupanya untuk mendapat sesuatu yang amat berharga, kami perlu melakukan pengorbanan dan berusaha sebaik mungkin," katanya.
Seorang lagi klien yang hanya mahu dikenali sebagai Jagung, 36, berkata beliau pada mulanya memberontak apabila mengetahui perlu melakukan kerja-kerja luar seperti melakukan kerja buruh dan bertukang.
"Pada awalnya tak boleh terima kena buat perkara itu. Tetapi bila sudah buat dan lihat sendiri hasil usaha kami, macam tak percaya kami mampu membina i-SCORE dan ia banyak mengajar kami erti sebenar sebuah kehidupan dan berazam untuk berhijrah dan memulakan hidup baharu nanti," katanya yang akan meninggalkan pusat itu dua minggu lagi.
Pada masa ini, terdapat kira-kira 220 klien yang menerima rawatan di Puspen Sepang dan rata-rata ditemui Bernama amat positif terhadap pendekatan baharu yang diterapkan AADK itu dan menyifatkan ia lebih dekat dan realistik dengan kehidupan mereka.
-- BERNAMA