Pemulihan industri penerbangan: Hampir 400,000 perjalanan direkod sejak Januari - MOT

Ridauddin Daud
November 16, 2023 13:00 MYT
Anthony Loke Siew Fook berkata, pemulihan industri penerbangan adalah pada kadar 74.1 peratus ketika ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak 381,475 penerbangan direkodkan antara Januari hingga Oktober 2023 berbanding 514,896 penerbangan untuk tempoh sama pada tahun 2019.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, angka itu menunjukkan pemulihan industri penerbangan adalah pada kadar 74.1 peratus.
Menurutnya, dari aspek pengendalian penumpang pula, berlaku penurunan ketara sebanyak 50.1 peratus pada tahun 2022 apabila lapangan-lapangan terbang mengendalikan 54.8 juta penumpang.
Dibandingkan dengan tahun 2019, jumlahnya jauh berbeza kerana pada tahun tersebut, lapangan terbang mengendalikan lebih 109 juta penumpang.
“Sehingga bulan September 2023, lapangan-lapangan terbang di Malaysia telah mengendalikan seramai 62.8 juta penumpang.
“Pihak kerajaan mensasarkan peningkatan bilangan penumpang pada tahun ini adalah sebanyak 87.8 juta penumpang iaitu 80.6 peratus berbanding bilangan penumpang yang direkodkan pada tahun 2019.
“Jumlah penumpang dijangka kembali ke tahap prapandemik pada tahun hadapan,” katanya.
Tambah beliau, tahap pemulihan keseluruhan jumlah penumpang adalah pada kadar 77.5 peratus antara Januari hingga September 2023 berbanding tempoh sama pada tahun 2019.
Pemulihan terbaik melibatkan penumpang domestik pada kadar 84.4 peratus, diikuti penumpang Asean pada 77.5 peratus dan 63.4 peratus untuk penumpang destinasi antarabangsa yang lain.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Khamis, menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH - Sibu) yang bertanya berkaitan pemulihan penerbangan di Malaysia, dibandingkan dengan tempoh sebelum COVID-19.
#Anthony Loke #kapal terbang #perjalanan udara #pemulihan industri penerbangan
;