Pemulihan industri acara perniagaan kunci untuk bantu ekonomi negara - Irmohizam

Astro Awani
September 27, 2021 17:54 MYT
Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berpendapat, pembukaan semula industri itu perlu dilakukan sekarang.
KUALA LUMPUR: Pemulihan semula industri acara perniagaan merupakan kunci untuk membantu ekonomi Malaysia kembali ke landasan meyakinkan seperti sebelum ini.
Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Irmohizam Ibrahim berpendapat, pembukaan semula industri itu perlu dilakukan sekarang.
Menurutnya, Malaysia kini sedang menuju ke arah imuniti kelompok dan beliau berharap kerajaan mempertimbangkan untuk melonggarkan sekatan dikenakan kepada industri tersebut.
BACA: WTCKL sedia jadi projek perintis pembukaan semula industri acara perniagaan
“Kerajaan harus memberi tumpuan kepada peruntukan khusus yang memfokuskan pada kesinambungan perniagaan dan ketahanan ekonomi di tengah-tengah pandemik COVID-19. Kerajaan mesti menyedari sumbangan industri ini terhadap pemulihan ekonomi.
“Industri acara perniagaan memainkan peranan besar sebagai 'barisan hadapan' dalam sektor ekonomi. Ini akan menjadi sinar harapan jika pemerintah dapat meningkatkan keterlibatan dengan pihak berkepentingan acara perniagaan.
“Sekiranya acara perniagaan dapat dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), industri dapat membantu mendorong pemulihan ekonomi,” katanya pada 2nd Malaysia Tourism Gold Summit 2021 pada Isnin.
PPV WTCKL | Kejayaan boleh jadi rujukan buat 320 WTC seluruh dunia
Tambah beliau, dari 2010 hingga 2020, Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 2,600 acara perniagaan dan membawa pulangan berjumlah RM16.7 bilion.
Astro AWANI baru-baru ini melaporkan, WTCKL bersedia menjadi ‘projek perintis’ bagi industri acara perniagaan dengan beroperasi bermula Oktober ini namun berkapasiti 50 peratus pengunjung, sekiranya kerajaan memberi peluang kepada mereka.
Menurut Irmohizam, pembukaan industri acara perlu dilihat sebagai acara perniagaan dan bukannya kategori sosial, perhimpunan orang ramai mahupun acara hiburan.
Tambah beliau, mustahil untuk pemain industri dapat bertahan jika tidak dibuka sekarang dan sekiranya hanya dibenarkan beroperasi pada Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN), Irmohizam menyifatkan ia sudah pun terlambat.
#PPN #industri acara perniagaan #COVID-19 #SOP #pandemik #imuniti kelompok
;