Pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran kuatkan perjuangan bebaskan Palestin - Abdul Hadi
Afiezy Azaman
Mac 13, 2023 10:06 MYT
Mac 13, 2023 10:06 MYT
KUALA LUMPUR: Pemulihan hubungan diplomatik antara kerajaan Arab Saudi dan Iran memainkan peranan penting dalam menstabilkan suhu geopoltik di Asia Barat terutamanya penyelesaian konflik di Yaman, Syria, Lubnan dan Libya.
Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, perkembangan terbaharu itu juga dijangka mampu menguatkan lagi perjuangan untuk membebaskan bumi Palestin.
"Pas menyambut baik pemulihan hubungan antara Arab Saudi-Iran dan menganggapnya sebagai langkah awal ke arah penyatuan ummah secara menyeluruh ke atas umat dan dunia Islam.
"Ia adalah tindakan yang amat baik dalam usaha untuk merapatkan kembali hubungan antara Arab Saudi-Iran yang selama ini terjejas akibat campur tangan dan tipu daya pihak berkepentingan yang mengambil kesempatan untuk keuntungan mereka semata-mata," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, umat dan dunia Islam sewajarnya turut sama menyambut baik langkah itu di samping menjadikannya sebagai contoh dan tauladan dalam usaha untuk mengeratkan kembali hubungan bagi mengelakkan sengketa berpanjangan yang merugikan ummah secara keseluruhan.
"Pas mendoakan agar pemulihan hubungan antara Arab Saudi-Iran akan terus berkekalan seterusnya menjadi titik tolak ke arah perpaduan dan penyatuan ummah ke atas seluruh umat dan dunia Islam," ujarnya.
Pada Jumaat Arab Saudi dan Iran sepakat untuk mewujudkan semula hubungan selepas bertahun-tahun persengketaan yang telah mengancam kestabilan dan keselamatan di Teluk dan membantu mencetuskan konflik di Asia Barat dari Yaman ke Syria.
Perjanjian itu diuruskan oleh China dan diumumkan selepas empat hari rundingan yang diadakan di Beijing antara pegawai keselamatan tertinggi kedua-dua negara.