Pemulihan Gurdwara berusia 122 tahun di Pulau Pinang dijangka siap dalam dua tahun

Bernama
April 14, 2024 04:30 MYT
Santok Singh berkata setakat ini kerajaan negeri telah menyumbangkan RM1 juta untuk projek pemulihan kuil Sikh tertua di Malaysia itu. - Foto Facebook/Wadda Gurdwara Sahib Penang Page
GEORGE TOWN: Kerja-kerja pemulihan bangunan Wadda Gurdwara Sahib berusia 122 tahun di sini dengan kos RM6 juta yang bermula semalam dijangka siap dalam tempoh dua tahun.
Presiden Wadda Gurdwara Sahib Santok Singh Ranjit Singh berkata setakat ini kerajaan negeri telah menyumbangkan RM1 juta untuk projek pemulihan kuil Sikh tertua di Malaysia itu.
"Gurdwara ini asalnya dari Fort Cornwallis.. pada masa itu (1880-an) British membawa masuk orang Sikh untuk berkhidmat sebagai anggota polis di Pulau Pinang dan akibat pertambahan populasi, gurdwara yang lebih besar perlu dibina.
"Semasa Jubli Berlian Ratu Victoria (meraikan ulang tahun ke-60 menduduki takhta), permohonan telah dibuat dan Baginda telah memberi tanah seluas 50,000 kaki persegi. Anggota polis ketika itu telah memberi sebulan gaji mereka untuk membiayai pembinaan gurdwara ini," katanya ketika ditemui Bernama pada Ahad di gurdwara berkenaan sempena sambutan Vaisakhi.
Santok Singh berkata gurdwara itu perlu dipulihkan tanpa merobohkannya kerana ia telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan Kategori Satu yang pertama di Asia Tenggara, dan beliau berharap orang ramai tanpa mengira kaum dapat membantu dalam pengumpulan dana bagi menjayakan projek pemulihannya.
Sementara itu penduduk Pulau Pinang dijemput untuk menghadiri Rumah Terbuka Vaisakhi pada 4 Mei di Fort Cornwallis di sini dengan 2,000 orang dari pelbagai kaum dijangka hadir.
Pengerusi penganjurannya Harbinder Singh Harban Singh berkata pengunjung akan dihiburkan oleh pemenang gelaran Artis Antarabangsa Terbaik pada Anugerah Bhangra United Kingdom 2022 Kamal Chopra serta pelbagai persembahan kebudayaan Punjabi, selain dijamu dengan bermacam jenis hidangan Sikh seperti Jelebi dan Chapati.
Vaisakhi disambut oleh kaum Sikh bagi memperingati perayaan menuai musim bunga dan penggubalan perintah Khalsa oleh Guru Sikhism kesepuluh, Guru Gobind Singh Ji.
-- BERNAMA
#musim bunga #Warisan #pengumpulan dana #Wadda Gurdwara Sahib
;