Pemulihan ekonomi akan perlahan jika gagal tangani hutang isi rumah - Anwar

Umavathi Ramayah
April 5, 2021 19:42 MYT
Anwar Ibrahim menggesa Muhyiddin Yassin supaya segera mengarahkan pasukan ekonominya untuk memikirkan strategi baharu dalam meringankan beban rakyat. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Fasa pemulihan ekonomi negara dijangka bertambah lambat pada tahun ini sekiranya kerajaan gagal menangani masalah hutang, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya segera mengarahkan pasukan ekonominya untuk memikirkan strategi baharu dalam meringankan beban rakyat pada ketika ini dan tidak melebihi kepentingan kroni.
"Masalah hutang ini sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia akan melambatkan fasa pemulihan ekonomi pada tahun ini.
"Malah, untuk beberapa tahun akan datang juga sekiranya kerajaan yang ada pada hari ini tidak berbuat apa-apa," katanya dalam hantaran yang dikongsi di Facebooknya di sini, pada Isnin.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyatakan kebimbangan dengan unjuran yang dibuat Bank Negara (BNM) berhubung tinjauan fiskal yang mendedahkan hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahap yang sangat tinggi.
"Angka terkini adalah sebanyak 93.3 peratus. Angka lama, 87.5 pada bulan Jun 2020 yang lalu juga sudah keterlaluan tinggi dan berada di tahap yang cukup memprihatinkan," ujarnya lagi.
Beliau menjelaskan, sebilangan besar hutang itu adalah hutang pinjaman perumahan dan kenderaan berikutan kesan langsung daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sementara itu katanya, hutang kad kredit juga mencanak naik dan berada di tahap yang merungsingkan.
"Rakyat tidak ada banyak pilihan dalam mendepani masalah dan situasi ini akan mengheret mereka untuk membuat pinjaman baharu, lantas meletakkan mereka dalam beban hutang yang berpanjangan," tambahnya.
Beliau yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, Tabung Kewangan Dunia (IMF) menyarankan untuk rencanakan dasar dan kebijakan baharu bagi menangani masalah kesenjangan kerana beban kewangan pada ketika ini memberi dampak yang cukup parah kepada golongan miskin dan tersisih.
#Anwar Ibrahim #Nurul Izzah Anwar #Pakatan Harapan #PKR #Port Dickson #IMF #KDNK #ekonomi #Hutang negara #fiskal #PKP #Perdana Menteri #Muhyiddin Yassin
;