PEMULIH: RM300,000 kepada setiap Parlimen, rakyat mahu bantuan disalurkan secara adil
Fareez Azman
Jun 30, 2021 18:25 MYT
Jun 30, 2021 18:25 MYT
KUALA LUMPUR: Peruntukan RM300,000 bagi program Bantuan Bakul Makanan untuk setiap kawasan Parlimen seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) nyata melegakan rakyat terutamanya daripada golongan B40.
Bagi Pengerusi Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci di ibu negara, Abdul Rahim Ahmad, berita gembira itu diharap dapat sedikit sebanyak melegakan beban yang dihadapi mereka sewaktu dilanda pandemik COVID-19 ini.
Malah katanya ada juga penduduk yang terpaksa bergantung dengan bantuan daripada Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebelum ini.
Ramai yang mengharapkan agar pelaksanaan program terbabit dapat dibuat secara adil.
"Kami yang duduk di PPR ini memang dari golongan B40, jadi kami memang memerlukan sangat-sangat bantuan kerajaan seperti ini.
"Kalau benda ini disalurkan wakil rakyat, kita harapkan wakil rakyat dapat menyalurkan kepada penduduk-penduduk sekitar yang ada dengan pembahagian kena adil, supaya kita tidak hendak ada penduduk yang mengadu dalam kesusahan," katanya ketika tinjauan Astro AWANI hari ini.
Bagaimanapun tambahnya, meskipun pakej PEMULIH yang diumumkan disifatkan memuaskan hati rakyat, kerajaan ujarnya perlu menjelaskan beberapa kekeliruan dalam kalangan masyarakat terutama yang melibatkan moratorium.
"Saya rasa pakej pemulihan kali ini memang memuaskan hati semua rakyat tetapi kita tidak nampak cara pembahagiannya, kalau boleh biarlah cepat sebab macam moratorium ini.
"Kalau ambil enam bulan tetapi kita kena bayar hutang satu tahun setengah, bahagian ini yang tidak jelas bagi saya.
"Saya rasa kerajaan kena jelaskan perkara ini, bantuan lain kerajaan kata hendak bagi bulan Ogos hendak beri kita. Kalau perkara ini berpanjangan saya rasa akan menimbulkan banyak masalah. Tetapi kalau lambat beri akan menimbulkan masalah bagi penduduk di kawasan ini," katanya lagi.
Dalam pada itu, Yusuf Daud yang juga seorang pemandu teksi mahu semua wakil rakyat mengetepikan fahaman politik dan memberi tumpuan dalam membantu rakyat.
"Wakil rakyat patut kerap datang bertanyakan hal ehwal penduduk kawasan ini, dia mesti kerap datang bertanyakan apa masalah penduduk di kawasan ini.
"Bukan masa berpolitik, tidak kira yang ada masalah turun sekurang-kurangnya dapat bersua muka bagaimana keadaan kita di sini," katanya.
Pada 28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan sebanyak RM300,000 menerusi Pakej PEMULIH kepada semua Ahli Parlimen untuk melaksanakan Bantuan Bakul Makanan.
Jelas beliau, ia bagi memberi lebih banyak bantuan dihulurkan kepada golongan terjejas menerusi wakil rakyat di kawasan masing-masing.
Turut diumumkan peruntukan tambahan RM10 juta bagi tujuan Bantuan Bakul Makanan khusus untuk masyarakat Orang Asli.
#Muhyiddin Yassin
#Astro Awani
#NGO
#Perdana Menteri
#Parlimen
#ekonomi
#Orang Asli
#teksi
#COVID-19
#pandemik
#Moratorium
#Pakej PEMULIH
#bantuan
#rakyat
#PPR