PEMULIH: RM125 juta bagi program latihan kemahiran bawah HRD Corp - PM

Fareez Azman
Jun 28, 2021 17:54 MYT
Muhyiddin berkata, ia dibuka kepada belia lepasan sekolah dan graduan dalam memberi latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukan RM125 juta melalui Human Resource Development Corporation (HRD Corp) untuk melaksanakan inisiatif Place and Train di bawah Program Janapreneur.
Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia dibuka kepada belia lepasan sekolah dan graduan dalam memberi latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan.
"Inisiatif ini dijangka membuka peluang kepada 30,000 orang untuk mengikuti program latihan kemahiran dengan jaminan pekerjaan setelah tamat latihan," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam pengumuman khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) pada Isnin.
Tambah Muhyiddin bagi memastikan pencari rezeki terus dapat menjana pendapatan mereka menerusi ekonomi gig, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) akan menambah baik program sedia ada iaitu eRezeki dan GLOW.
Katanya, ia bakal membantu lebih 20,000 pencari pekerja dalam ekonomi gig.
Dalam memastikan bebanan individu yang mencari kerja turut diberi perhatian, kerajaan jelas Muhyiddin turut memperluaskan Elaun Mencari Pekerjaan.
Tambahnya, ianya terbuka kepada bukan pencarum Perkeso terutama graduan baharu, lepasan sekolah dan pekerja sektor tidak formal.
"Mereka bolehlah mendaftar di bawah platform MYFutureJobs dan bakal menerima elaun sekurang-kurangnya RM300," katanya lagi.
#Muhyiddin Yassin #Elaun Mencari Pekerjaan #perkeso #HRD Corp #rakyat #kerja #ekonomi gig #MDEC #PEMULIH
;