PEMULIH: Moratorium tidak dikenakan faedah terkompaun, penalti lewat bayar - Tengku Zafrul
Ridauddin Daud
Jun 29, 2021 15:11 MYT
Jun 29, 2021 15:11 MYT
PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menegaskan bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun atau penalti lewat bayar kepada peminjam yang memohon moratorium.
Menurutnya, dalam perjumpaan bersama bank baru-baru ini, kerajaan membangkitkan perkara tersebut dan bank bersetuju untuk melaksanakannya.
Tambahnya, pelaksanaan moratorium yang diumumkan semalam sama sahaja konsepnya seperti diumumkan tahun lepas.
“Fokus moratorium adalah untuk membantu aliran tunai bagi mereka yang terkesan, golongan B40, M40 dan T20. Inilah, masa kita turun padang, inilah yang mereka mahukan.
“Mereka mahukan pertolongan, kita pun bercakap dengan bank-bank, tolonglah, yang mana tak terkesan pun kita kena tolong, mudahkan proses itu. Jadi sekarang, proses itu akan menjadi mudah.
“Mereka hanya perlu buat permohonan secara dalam talian, pergi ke cawangan dan mereka mendapat kelulusan secara automatik, tidak ada pertanyaan, tidak ada borang,” katanya dalam sidang media khas di sini pada Selasa.
Tegasnya, sekiranya ada bank mengenakan faedah terkompaun dan penalti, peminjam boleh membuat aduan kepada pihak berkaitan.
“Jadi saya fikir fokus untuk bantu mereka yang terkesan. Ini adalah penangguhan bayaran balik, kita bantu mereka yang terkesan.
“Bank-bank telah bersetuju untuk memberi bantuan kepada mereka yang terkesan secara automatik,” ujarnya.
Tambah beliau, fokus utama pemberian moratorium itu adalah untuk membantu rakyat memiliki wang tambahan ketika tempoh sukar sebegini.
#Menteri Kewangan
#Moratorium
#Tengku Zafrul
#caj tambahan
#penalti lewat bayar
#pandemik
#PEMULIH
#faedah terkompaun