PEMULIH: Dana RM150 juta bagi untuk PIKAS, kurangkan tanggungan syarikat - PM Muhyiddin
Firdaus Azil
Jun 28, 2021 18:24 MYT
Jun 28, 2021 18:24 MYT
PUTRAJAYA: Sebanyak RM150 juta disediakan bagi menggalakkan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) dan mengurangkan tanggungan syarikat terlibat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telah dipertanggungjawab untuk menyelaras PIKAS sebagai galakan kepada penggunaan premis syarikat dan industri sebagai PPV, serta menjalankan program imunisasi kepada pekerja.
Melalui kerjasama strategik itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menyediakan bekalan vaksin, manakala pihak syarikat atau kilang akan memudahcara urusan logistik yang berkaitan.
“Kerajaan bersetuju majikan yang berdaftar di bawah Perbadanan Sumber Manusia Berhad (atau HRD Corp), boleh menggunakan baki levi semasa sehingga 10 peratus bagi kos pengurusan dan pembelian vaksin COVID-19.
“Kerajaan juga bersetuju untuk memberi potongan cukai ke atas perbelanjaan merangkumi kos peralatan dan perkhidmatan penyediaan PPV oleh majikan.” katanya lagi.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan mengenakan potongan cukai ke atas sumbangan COVID-19 projek komuniti atau amal juga diperluaskan meliputi sumbangan kepada PPV.
Tambahnya lagi, kerajaan bersedia mempertimbangkan kebenaran kepada syarikat untuk beroperasi pada kapasiti penuh sekiranya semua pekerja telah lengkap dua dos vaksin.
Muhyiddin berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas sempena pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, bagi memastikan golongan rentan tidak terkecuali daripada mendapatkan suntikan vaksin, beberapa program di peringkat komuniti juga akan disegerakan.
“Antaranya, pendaftaran untuk vaksinasi serta pemberian subsidi sehingga RM30 atas kos tambang teksi dan e-hailing untuk golongan OKU dan warga emas bagi memudahkan pergerakan mendapatkan vaksin pada hari temu janji mereka.
“Nilai keseluruhan bagi fokus ketiga (meningkatkan vaksinasi) ini berjumlah RM1 bilion,” katanya lagi.
#Perdana Menteri
#Muhyiddin Yassin
#Pakej PEMULIH
#PIKAS
#MITI
#awam swasta
#ekonomi
#cukai
#COVID-19
#PPV
#suntikan
#subsidi
#PEMULIH