PEMULIH: Bantuan menyeluruh, beri manfaat kepada rakyat Sabah - Hajiji
Eleanor Michelle Patrick
Jun 29, 2021 17:58 MYT
Jun 29, 2021 17:58 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyambut baik Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin pada Isnin.
Menurut beliau, pakej tersebut merupakan pakej rangsangan secara menyeluruh yang akan memberi manfaat kepada penduduk negeri itu.
"Bagi pihak kerajaan negeri, saya merakamkan tahniah kepada Perdana Menteri atas pakej rangsangan yang amat komprehensif dan pasti memberi manfaat kepada rakyat dan pelbagai sektor ekonomi di Sabah.
"Peruntukan merangkumi suntikan fiskal RM10 bilion adalah besar dan ini yang diperlukan negara sekarang bagi mengatasi impak penutupan kali ketiga seluruh negara disebabkan COVID-19,” katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Tambahnya, pakej itu mampu meringankan beban penduduk Sabah yang juga bakal terima bantuan wang tunai daripada kerajaan negeri di bawah Bantuan Sabah Prihatin 3.0, selain Bantuan Khas COVID-19 (BKC) bernilai RM4.6 bilion di bawah PEMULIH.
Selain itu, pengumuman Perdana Menteri bahawa Bank Simpanan Nasional (BSN) akan memulakan kemudahan perbankan mudah alih di Sabah bemula Julai ini juga dialu-alukan.
Ini kerana inisiatif itu akan membantu memberi akses yang lebih mudah dalam perkhidmatan bank khusus bagi penduduk luar bandar.
Menerusi pengumuman Perdana Menteri, kerajaan juga menawarkan dana sebanyak RM18 juta kepada bank tempatan untuk menyediakan kira-kira 30 unit bank bergerak di Semenanjung, Sabah dan Sarawak meliputi 250 kawasan luar bandar.
Antara lain katanya pemberian moratorium pinjaman bank selama enam bulan tanpa syarat kepada semua peminjam individu dan pengusaha mikro membuktikan keprihatinan kerajaan kepada keperluan semua rakyatnya.
#Pakej PEMULIH
#COVID-19 di Sabah
#Bantuan Sabah Prihatin 3 0
#bantuan khas covid-19
#Muhyiddin Yassin
#Hajiji Nor
#bank bergerak di Sabah