PEMULIH: Ahli Parlimen perlu urus dana Bantuan Bakul Makanan dengan telus - Pemuda PN
Khairunnisa Kasnoon
Julai 1, 2021 23:06 MYT
Julai 1, 2021 23:06 MYT
KUALA LUMPUR: Semua Ahli Parlimen diharap dapat mengurus dana tambahan RM300,000 bagi pelaksanaan program Bantuan Bakul Makanan dengan telus tanpa melalui agensi kerajaan.
Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Khairil Nizam Khirudin, berkata dalam pada itu, mereka yang layak perlu segera memohon bantuan kepada wakil rakyat, selain agensi kerajaan sedia ada.
"Dengan inisiatif tambahan ini, diharap wakil rakyat dapat mengurus dana ini dengan telus dan menyampaikan bakul makanan ini tanpa melalui agensi kerajaan.
"Rakyat juga dapat mohon segera pada wakil rakyat, selain daripada agensi-agensi kerajaan yang sedia ada," ujarnya dalam satu kenyataan malam ini.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM300,000 bagi program Bantuan Bakul Makanan untuk setiap kawasan Parlimen menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Bantuan berkenaan disalurkan kepada semua Ahli Parlimen termasuk pembangkang bermula hari ini.
Dalam pada itu, katanya Pemuda PN mengecam tindakan pihak tertentu terutama parti pembangkang yang cuba mencemar objektif kempen #benderaputih dengan menanam elemen perpecahan dan kebencian pada kerajaan.
Ujarnya, gerakan itu adalah sukarela bagi mempermudah identifikasi dan penyampian bantuan segera bagi individu dalam komuniti setempat yang ingin menolong antara satu sama lain.
Pemuda PN di semua parlimen akan terus mengerakkan sukarewalan untuk membantu menyampaikan bantuan kepada mereka yang memerlukan, samada bendera putih diangkat atau tidak.
"Pemuda PN menyeru seluruh rakyat bersatu padu, berdoa, kuatkan semangat dan yakin bahawa kita semua dapat kembali menjalani kehidupan dan norma biasa kelak melalui Pelan Pemulihan Negara," katanya.
#Muhyiddin Yassin
#Perdana Menteri
#Bakul Makanan
#peruntukan
#ahli Parlimen
#Bendera putih
#benderaputih
#bantuan
#kempen
#Pemuda PN
#PEMULIH