Pemuda UMNO tawar nasihat guaman percuma kepada mereka yang dikompaun

Astro Awani
Mac 15, 2021 21:41 MYT
Pemuda UMNO menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan merasakan diri mereka dianiayai akibat tindakan penguatkuasaan SOP PKP. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menawarkan khidmat nasihat guaman secara percuma kepada orang ramai yang dikompaun dan merasakan diri mereka dianiayai akibat tindakan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, khidmat itu disediakan bagi kesalahan-kesalahan kecil seperti tidak memakai pelitup muka dan sebagainya.
"Tawaran ini meliputi nasihat guaman dan representasi peguam kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi membuat rayuan pengurangan kompaun bagi kesalahan-kesalahan melibatkan PKP," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Katanya, dalam masa terdekat, Pemuda UMNO akan menyediakan platform secara dalam talian untuk individu-individu yang dikompaun bagi menghantar maklumat dan mendapatkan khidmat nasihat perundangan.
"Pemuda UMNO tetap berpendirian agar Kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menilai kembali jumlah kompaun RM10,000 yang ditetapkan agar rakyat tidak terus merasa teraniya dan terbeban," ujarnya.
Pemuda UMNO turut menyediakan dua talian hotline yang beroperasi untuk orang ramai memberikan maklum balas di talian 013-7354116 dan 013-7354117.
Barisan Peguam-peguam dalam kalangan Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang akan mengetuai pasukan ini adalah Nik Saiful Adli Burhan (Pengerusi Sekretariat Perundangan dan Peguam Muda Pemuda UMNO Malaysia), Faridzul Azlan Abd Shani dan Muhamad Nur Aizat Noor Azam.
Sumber Facebook drasyrafwajdidusuki
#Pemuda UMNO #khidmat guaman #kompaun #PKP #SOP #COVID-19 #Asyraf Wajdi Dusuki #perintah kawalan pergerakan
;