Pemuda UMNO sedia bantu kakitangan PHSB yang dipecat

Astro Awani
Februari 5, 2014 18:12 MYT
Pergerakan Pemuda UMNO hari ini mengadakan pertemuan dengan 23 pekerja Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Holdings Sdn Bhd (PHSB).
Pengerusi Biro Pekerja Muda Pergerakan Pemuda UMNO, Dazma Shah Daud berkata pertemuan tersebut dilakukan atas dasar prihatin terhadap nasib kakitangan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu.
Dazma berkata pekerja PHSB yang menerima nasib malang itu meminta kerjasama Pemuda UMNO untuk membantu mendapatkan hak mereka.
Katanya, pekerja-pekerja PHSB yang dipecat itu kesal kerana mereka tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan sebaliknya diberi notis dalam tempoh yang terlalu singkat.
"Tidak adil bagi mereka (23 kakitangan PHSB) yang dipecat dalam tempoh 24 jam tanpa sebarang alasan yang kukuh dan tidak diberi peluang untuk memberi penjelasan.
"Pihak pengurusan PHSB tidak sepatutnya membuat tindakan mengejut begitu, pekerja yang dipecat itu mempunyai keluarga yang perlu ditanggung," katanya kepada Astro AWANI.
Menjelas lanjut, Dazma berkata pihaknya kesal dengan sikap PHSB yang menamatkan khidmat kakitangan mereka tanpa alasan yang kukuh.
Beliau juga menjelaskan Pemuda UMNO sedia membantu pekerja-pekerja PHSB untuk mendapatkan hak mereka.
Semalam PHSB dilapor memecat 30 kakitangannya tanpa sebarang sebab munasabah dengan notis 24 jam berkuat kuasa serta-merta.
Kesemua kakitangan PHSB - anak syarikat PKNS - menerima surat pemecatan itu dalam satu pertemuan dengan pihak pengurusan selepas hadir bekerja seperti biasa. Surat itu ditandatangani Pengerusi PHSB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.
Khalid ketika ditemui semalam menafikan penglibatan beliau dalam pemecatan tersebut dan berkata keputusan itu dilakukan sendiri pihak pengurusan PHSB.
Sementara itu, Timbalan Presiden MTUC, Abdullah Sani Abdul Hamid menganggap tindakan menamatkan kontrak pekerja terbabit sebagai tindakan zalim ibarat negara 'kunta-kinte'.
Beliau berkata Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah melanggar Akta Pekerja kerana tidak memberi justifikasi penamatan kontrak justeru melanggar kontrak yang ditandatangani sendiri oleh syarikat dan pekerja.
#pecat #Pemuda UMNO #PHSB #PKNS
;