Pemuda UMNO saran pemegang konsesi tol laksana CSR, turunkan tol

Astro Awani
Disember 19, 2013 07:45 MYT
Khairul Azwan Harun, naib ketua pemuda UMNO
Pemuda UMNO menyarankan agar syarikat-syarikat pemegang konsesi tol supaya melaksanakan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka dengan tidak menaikkan kadar tol.
Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata, syarikat konsesi tidak seharusnya melihat CSR hanya boleh dilakukan dengan cara memberi sumbangan kepada anak yatim sahaja sebaliknya membantu meringankan beban rakyat juga merupakan salah bentuk tanggungjawab sosial.
"Syarikat-syarikat konsesi ini boleh menjadikan penurunan kadar tol sebagai salah satu CSR mereka, membantu meringankan beban rakyat atau pengguna juga merupakan satu keadah CSR.
"Jangan hanya lihat CSR ini hanya boleh dilaksanakan dengan memberi sumbangan kepada anak-anak yatim dan mereka yang kurang berupaya sahaja," katanya kepada Astro AWANI.
Sebelum ini Pemuda UMNO mendesak kerajaan membuat kajian terperinci dan memberi justifikasi kepada rakyat berhubung cadangan kenaikan bayaran tol lebuh raya dan tambang pengangkutan awam.
Khairul Azwan berkata, kajian itu perlu supaya rakyat mempunyai kefahaman yang jelas mengenai faktor kenaikan tersebut sekali gus mempertahankan keyakinan terhadap kerajaan.
"Setakat ini, alasan yang diberikan oleh kerajaan tidak begitu teguh dan meyakinkan rakyat," katanya.
Beliau juga berkata, pihaknya beranggapan kenaikan kadar bayaran tol lebuh raya sebagai satu tindakan yang tidak wajar untuk dilaksanakan atas beberapa sebab tertentu.
Katanya, penggunaan lebuh raya bukan lagi satu alternatif, sebaliknya menjadi laluan wajib kepada pengguna untuk sampai ke destinasi dengan pantas.
Bagaimanapun katanya, pada masa ini lebuh raya turut berdepan dengan masalah kesesakan sedangkan penggunanya perlu membayar tol.
"Hal ini seperti membayar tol untuk meredah kesesakan," katanya.
Dalam pada itu, Khairul Azwan juga mencadangkan agar Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak mengenakan tarik elektrik baru terhadap sistem transit aliran ringan (LRT) dan KL Monorel jika kenaikan tersebut dijadikan alasan untuk menaikkan tambang.
"Kami cadangkan supaya kenaikan tarif elektrik tidak dikenakan kepada LRT supaya mereka tidak mempunyai alasan untuk meningkatkan kadar harga tambangnya," katanya.
#Khairul Azwan Harun #Pemuda UMNO #tol
;