Pemuda UMNO Perak, Wilayah Persekutuan dan Selangor buat laporan polis terhadap Guan Eng

Abd Razak Mohd Ali
November 6, 2019 22:22 MYT
Guan Eng mendakwa masyarakat bukan Islam akan menghadapi kesengsaraan apabila UMNO dan Pas memerintah. - Gambar fail
Pergerakan Pemuda UMNO Perak membuat laporan polis terhadap Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kenyataan kononnya masyarakat bukan Islam akan menghadapi kesengsaraan apabila UMNO dan Pas memerintah.
Ketuanya, Mohd Arrif Abdul Majid berkata, beliau difahamkan laporan yang sama turut dibuat Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan dan Selangor.
Menurutnya, kenyataan Guan Eng itu adalah satu fitnah yang memberi gambaran tidak baik dan cuba menakut-nakutkan rakyat dengan isu perkauman.
“Kenyataan tersebut membawa maksud bahawa Pas dan UMNO membawa prinsip perkauman dan pelampau agama yang menyebarkan dakyah diskriminasi, ancaman, pembohongan dan kebencian terhadap golongan bukan Melayu dan bukan Islam,” katanya selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Senam di sini, pada Rabu.
Hadir sama Naib Ketua Pemuda UMNO Perak, Nazirul Jamaludin, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Perak Mohd. Najib Abdul Rahman dan beberapa pemimpin sayap itu.
Mohd Arrif menyifatkan kenyataan itu memalukan dan berniat jahat dalam mewujudkan doktrinisasi ketakutan kepada rakyat yang dibuat oleh seorang yang berjawatan tinggi dalam kerajaan.
Sehubungan itu, katanya, ia tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa.
Menurutnya, kenyataan itu jelas bertentangan dengan apa yang dipersetujui di dalam Gabungan Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas yang tidak akan sana sekali meminggirkan masyarakat majmuk di negara ini.
Tambahnya, kenyataan Guan Eng itu juga terbukti tidak benar setelah 60 tahun pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa berteraskan pada Perkara 3 Perlembagaan negara di mana agama Islam adalah agama bagi Persekutuan dan agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai.
Pas juga, ujarnya, telah membuktikan pemtadbiran kerajaan pimpinan mereka di Kelatan tidak pernah meminggirkan kaum lain dari pelbagai sudut melibatkan agama dan adat.
“Pergerakan Pemuda UMNO Perak mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan begini yang mampu mewujudkan suasana tidak baik di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini,” tegasnya.
Mohd Arrif berkata, satu siasatan yang telus dan berintergriti wajar dijalankan, seterusnya tindakan yang sewajarnya diambil tanpa mengira jawatan dan kepentingan.
Beliau juga berharap agar semua pihak menghentikan segala bentuk fitnah dan momokan terhadap hubungan antara UMNO dan Pas.
#bukan Islam #fitnah #Islam #Lim Guan Eng #masyarakat majmuk #PAS #perkauman #rakyat Malaysia #UMNO
;