Pemuda UMNO mulakan misi bantuan banjir ke pantai timur
Bernama
Disember 28, 2023 19:03 MYT
Disember 28, 2023 19:03 MYT
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO hari ini memulakan misi bantuan kemanusiaan untuk mangsa yang terjejas banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh berkata misi bantuan banjir fasa pertama itu berlangsung hingga Ahad ini melibatkan hampir 50 ahli Pemuda UMNO serta Skuad Sabil.
"Bantuan yang kita sediakan ialah sebuah bot yang akan ditempatkan di Pasir Puteh, Kelantan. Bot ini akan digunakan oleh Skuad Sabil di Kelantan dan Terengganu untuk membantu mereka (mangsa) yang memerlukan.
"Selain itu, barangan seperti air mineral, makanan kering dan kelengkapan pembersihan diri turut akan disumbangkan kepada mangsa banjir," katanya pada majlis pelancaran Pelepasan Misi Bantuan Banjir Pemuda UMNO ke Negeri Pantai Timur di ruang legar Menara Dato' Onn di sini hari ini.
Dr Muhamad Akmal berkata rombongan misi bantuan fasa pertama itu akan berkumpul di Pasir Puteh, Kelantan sebelum memulakan agihan bantuan di kawasan yang terjejas banjir.
"Esok, kita akan berada di Besut, Terengganu serta Tanah Merah dan Pasir Mas di Kelantan. Kita juga akan tengok mana rumah yang airnya sudah surut untuk kita bantu membersihkannya," katanya menambah bantuan bagi fasa pertama melibatkan kira-kira RM40,000 termasuk bot dan barangan keperluan.
Beliau berkata bagi fasa kedua pula bantuan akan dibuat secara berjadual dengan menggerakkan seluruh Pemuda UMNO ke kawasan terjejas banjir di pantai timur untuk membantu mangsa dari segi proses pembersihan, pemindahan dan sebagainya.
"Fasa kedua akan menyusul selepas air surut dengan bantuan seperti pembersihan rumah (mangsa), rumah ibadat dan sekolah," katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak termasuk parti pembangkang sekiranya ada antara mereka yang mahu berganding bahu dalam memberi bantuan kepada rakyat yang terkesan banjir ketika ini.
-- BERNAMA
#Pemuda UMNO
#misi bantuan banjir
#Pantai Timur
#Kelantan
#terengganu
#Pahang
#Dr Muhamad Akmal Saleh