Pemuda UMNO ke Sweden bantu pasangan Malaysia
Haider Yutim
Januari 25, 2014 08:00 MYT
Januari 25, 2014 08:00 MYT
Pemuda UMNO bersama Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SUKAGUAM) berlepas ke Sweden Jumaat malam bagi membantu kes pasangan Malaysia yang ditahan pihak berkuasa negara itu.
Rombongan disertai Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO Sheikh Nafiq Alfirdaous dan juga wakil Wisma Putra.
Menurut beliau tujuan rombongan tersebut untuk menijau lebih dekat perkembangan terkini situasi keluarga kanak-kanak terbabit.
"Kami tidak akan mengganggu proses perjalanan mahkamah dan juga tidak akan menggugat undang-undang yang termaktub, namun kami diberitakan satu perkembangan yang amat positif di antara pihak kedutaan Malaysia dan juga pihak berkuasa tempatan di Sweden,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus sebelum berlepas.
Menurut Sheikh Nafiq lagi, keutamaan misi tersebut ialah keperihatinan kepada anak-anak pasangan itu agar mereka dapat pembelaan dan penjagaan yang baik dan sempurna melaui keluarga Islam.
"Saya juga ingin menyeru agar seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan moral dan doa kepada pasangan agar mereka dapat dibebaskan dengan kadar segera," katanya lagi.
Beliau bersama rombongan dijadualkan akan berada di Sweden sehingga 30 Januari ini bagi memantau situasi di sana.
Sheikh Nafiq juga tidak menolak kemungkinan akan menghantar wakil untuk meneruskan lagi siri pemantauan andai kata kes ini berlarutan.
Pasangan berkenaan, Azizul Raheem Awalludin dan isterinya Shalwati Norshal, ditahan reman sejak 18 Disember bagi membantu siasatan atas dakwaan memukul tangan anak mereka kerana tidak solat.
Empat anak mereka berusia antara tujuh dan 14 tahun kini tinggal bersama keluarga angkat yang disediakan oleh perkhidmatan masyarakat negara itu.