Pemuda Umno bantah cadangan PTPTN laksana CCRIS

T K Letchumy Tamboo
Ogos 20, 2013 18:09 MYT
Pemuda Umno hari ini membantah cadangan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk menggunakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) untuk menyenaraikan peminjam ingkar.
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sepatutnya mengguna pakai segala mekanisme kutipan serta mengambil tindakan yang sedia ada ke atas peminjam-peminjam yang ingkar.
“Bahkan, keutamaan hendaklah diberi kepada tindakan bersepadu yang juga mengambil kira pemberian insentif bayaran balik serta kaedah pembayaran anjal yang mengambil kira situasi semasa peminjam.
“Ini kerana pinjaman PTPTN amat berbeza dengan pinjaman-pinjaman lain seperti pinjaman kad kredit atau kenderaan.
“Pinjaman PTPTN bersifat keperluan kerana kerajaan tidak menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya di institusi pengajian tinggi dan keperluan memiliki kelulusan samaada Diploma mahupun ijazah adalah penting bagi pembangunan kerjaya dan intelektual seseorang anak muda,” kata Khairy dalam satu kenyataan media.
Khairy turut berkata bahawa beliau telah menyampaikan bantahan sayap UMNO itu kepada Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.
Idris pada Isnin mengumumkan bahawa PTPTN akan melaksanakan CCRIS dengan kerjasama Bank Negara bagi menyenaraikan peminjam ingkar, bermula bulan ini.
Namun, Idris berkata pelaksanaan CCRIS tidak bertujuan membebankan peminjam PTPTN sebaliknya mahu menggalakkan budaya pembayaran balik sebagai kemudahan pembiayaan pendidikan kepada generasi seterusnya.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut membantah langkah ini dan berkata ia perlu dilihat dengan lebih teliti.
“Sekiranya langkah ini dilaksanakan, ianya akan meletakkan golongan muda dalam ‘vicious-cycle’ (kitaran ganas) masalah kewangan yang berterusan.
“Ia juga dengan sendirinya akan meletakkan kemampuan kredit (credit-worthiness) kumpulan anak muda ini di dalam keadaan yang buruk. Tanpa kita sedar, ia boleh mengundang pelbagai masalah sosial yang tidak kita jangka.
“Usaha membebaskan nama daripada senarai CCRIS bukanlah satu langkah yang mudah. Ia mengambil masa dan boleh meletakkan golongan muda dalam tekanan ekonomi yang lebih sukar,” kata beliau dalam satu kenyataan.
Reezal Merican turut mencadangkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dijadikan rakan strategik jangka panjang kepada PTPTN.
“Perbincangan antara AKPK-PTPTN mungkin boleh memperbaiki situasi tanpa meletakkan orang muda di dalam tekanan ekonomi yang sukar,” katanya lagi.
Reezal Merican berkata kes kebankrapan dan muflis golongan muda di negara ini menunjukkan peningkatan yang sangat nyata.
“Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia tahun 2012 menunjukkan hampir 47 peratus kes baru melibatkan orang Melayu, 39 peratus melibatkan kaum Cina dan hampir 9 peratus melibatkan kaum India.
“Saya tidak nampak bagaimana meletakkan penghutang PTPTN di dalam CCRIS akan menyelesaikan isu ini dengan lebih positif dan bersifat ‘facilitating’ kepada golongan yang gagal membayar hutang mereka.
“Perlu kajian kes yang lebih teliti, mengenai sebab mereka enggan dan ingkar membayar hutang.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa pendirian Pemuda UMNO itu bukan bermakna sayap itu menyokong tindakan peminjam PTPTN tidak membayar balik pinjaman tetapi mahu kedudukan mereka dinilai dengan lebih menyeluruh.
#Khairy Jamaluddin #PTPTN #Reezal Merican Naina Merican #Twitter
;