Pemuda tular pukul warga emas direman empat hari

Bernama
Februari 6, 2024 23:50 MYT
Wan Kamarul Azran turut mengesahkan bahawa gambar lelaki warga emas cedera yang ditularkan di media sosial adalah benar dan insiden itu masih disiasat. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Seorang lelaki ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes pukul seorang warga emas di hadapan sebuah klinik swasta di Putra Perdana, Sepang di sini.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata suspek yang berumur 25 tahun dan memiliki tiga rekod jenayah itu ditahan reman hingga 9 Feb ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Beliau turut mengesahkan bahawa gambar lelaki warga emas cedera yang ditularkan di media sosial adalah benar dan insiden itu masih disiasat.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat atau menyaksikan insiden itu diminta hadir di balai polis berdekatan atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-877 4222 bagi membantu siasatan.
Pada 30 Jan lepas, tular di media sosial seorang warga emas berusia 73 tahun yang juga pesara dipukul seorang lelaki tanpa sebab sambil mengeluarkan kata-kata kesat di Puchong Prima ketika mangsa dalam perjalanan dari Brickfield, Kuala Lumpur ke Putra Perdana untuk berjumpa kawan.
Mangsa kemudian dikatakan meneruskan perjalanan namun suspek mengekori keretanya dan apabila tiba di Putra Perdana, suspek menyekat kereta mangsa sebelum menarik warga emas itu keluar serta menumbuknya di bahagian mata selain menendangnya bertubi-tubi.
Warga emas itu kemudian ditinggalkan di lokasi tersebut sebelum ke Hospital Serdang untuk rawatan dan pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan bengkak di kepala, lebam di bahagian mata kiri, patah tulang pipi kiri dan patah bawah tulang mata kiri.
-- BERNAMA
#warga emas #media sosial #kes pukul #Klinik swasta
;