Pemuda PN senaraikan lima cadangan bantuan kepada rakyat

Astro Awani
Mei 30, 2021 06:04 MYT
Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) mencadangkan lima bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat ketika pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh yang dikuatkuasakan pada 1 Jun hingga 14 Jun nanti.
Ketua Pemudanya, Khairil Nizam Khirudin berkata, antara bantuan yang boleh diberikan ialah Skim Bantuan Bersasar B40 dan M40, Moratorium Automatik Tanpa Cas Faedah selama dua bulan dan Subsidi Upah Pekerja.
Selain itu, mereka turut mencadangkan pemberian suntikan tunai buat Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta mengurangkan rancangan televisyen berunsur maksiat sebaliknya penuhi dengan rancangan berunsur pendidikan dan keagamaan.
BACA: 'Total lockdown' seluruh negara bermula 1 Jun - Perdana Menteri
“Kerajaan perlu peka kepada perihal keperluan asas demi kelangsungan kehidupan rakyat. Kerajaan hari ini yang sememangnya terkenal dengan contoh pimpinan prihatin perlu tuntas menjuarai perkara ini.
“Pemuda PN menegaskan akan terus bersama-sama berjuang di medan politik ini demi rakyat yang sentiasa diutamakan.
BACA: SOP Sekatan Pergerakan Penuh diumum petang ini
“Diharapkan agar segala bentuk bantuan yang kerajaan berikan dapat memberi penekanan manfaat buat semua golongan masyarakat terutamanya untuk golongan B40 dan M40,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambahnya, Pemuda PN juga menyambut baik pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh itu memandangkan jumlah kes harian di Malaysia kini sudah melepasi 9,000 kes sehari.
“Justeru, pelaksanaan total lockdown ini dilihat bertepatan apabila semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan juga perkhidmatan perlu yang akan diselaraskan senarainya,” ujarnya.
Total Lockdown | Beli ikut keperluan
Astro AWANI sebelum ini melaporkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun total lockdown Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dalam satu kenyataan berkata, sepanjang tempoh itu semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Katanya, keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.
#total lockdown #PKP #PKP Penuh #sekatan pergerakan penuh #Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #pengumuman #1 jun #14 Jun #SOP #ekonomi #perkhidmatan perlu #subsidi #COVID-19 #PKS #pemuda #PN #Perikatan Nasional