Pemuda PN dan GRS bantu mangsa kebakaran di Pulau Gaya

Astro Awani
Mac 23, 2021 05:08 MYT
Program ini turut melibatkan kira-kira 30 orang sukarelawan yang terdiri dari wakil ARMADA Nasional dan Ketua-Ketua Armada Bersatu Negeri Sabah, wakil PAS, STAR dan SAPP. - Gambar ihsan Azlan Kamarazaman
KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengadakan program ziarah dan pemberian bantuan kemanusiaan di Pulau Gaya, Kota Kinabalu, pada Selasa.
Menerusi program ziarah dan bantuan kemanusiaan ini, lebih 80 pek bantuan makanan beserta barangan keperluan asas telah diagihkan kepada 73 buah isi rumah yang telah hangus dijilat api dalam tragedi kebakaran yang berlaku pada baru-baru ini.
"Kehadiran barisan kepimpinan Pemuda Perikatan Nasional dan GRS ini diharap sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung mangsa kebakaran utamanya mereka yang terdiri dari warga emas dan kanak-kanak.
"Barisan kepimpinan Pemuda Perikatan Nasional juga ambil maklum mengenai permasalahan berbangkit yang dihadapi hasil luahan mangsa dan masyarakat setempat serta bertekad membawa suara atau permasalahan mereka ini ke peringkat atasan dan berwajib," kata jurucakap program itu dalam satu kenyataan.
BACA: Kebakaran rumah atas air di Pulau Gaya, tiga PPS dibuka
Program ini turut melibatkan kira-kira 30 orang sukarelawan yang terdiri dari wakil ARMADA Nasional dan Ketua-Ketua Armada Bersatu Negeri Sabah, wakil PAS, STAR dan SAPP.
Antara yang hadir Ketua Pemuda PN, Ir. Ts. Khairil Nizam yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ketua Armada Nasional Wan Ahmad Fayhsal, Rizal Johari (STAR), Jamainn Sarudin (SAPP), Fairuz Renddan (Ketua ARMADA Negeri Sabah) dan Mandela Malakun (Naib Ketua ARMADA Nasional).
#Perikatan Nasional #Gabungan Rakyat Sabah #PAS #Bersatu #STAR #SAPP #bantuan #kemanusiaan
;