Pemuda Pas tolak Bersih 4.0, kritik Harakah

Astro Awani
November 16, 2012 08:37 MYT
Dewan Pemuda Pas Pusat menolak usul menggesa pimpinan pakatan rakyat mengadakan himpunan Bersih 4.0.
Usul tersebut ditolak kerana Dewan Pemuda Pas pusat berpendapat tumpuan harus diberikan terhadap gerak kerja pilihan raya.
Usul tersebut dibawakan oleh Pemuda Pas Jasin dengan hasrat menghidupkan kebangkitan rakyat bagi menuntut pilihan raya yang bersih.
Ia antara empat usul yang diterima Dewan Pemuda Pas Pusat untuk dibahaskan ketika Muktamar mereka.
Sementara itu, Dewan Pemuda Pas Pusat menerima usul yang mendesak supaya sistem pengesan jad laju elektronik AES ditangguhkan serta merta bagi mengelakkan penganiyaan kepada rakyat.
Usul tersebut dibawa oleh exco dewan pemuda pas pusat, Firdaus Jaffar yang juga ahli parlimen Jerai.
Manakala usul mendesak presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan pemimpin MCA yang dikatakan menghina Islam meminta maaf secara terbuka diluluskan sebulat suara.
Usul tersebut dibawa seorang lagi exco Pemuda Pas Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil.
Usul tersebut juga mendesak agar semua pihak tidak menggunakan agama sebagai alat untuk menghina pihak lain.
Dewan Pemuda Pas Pusat juga turut meluluskan usul desak Pas Pusat menstruktur semula sidang editorial Harakah.
Perwakilan dari Pahang, Fazli Ibrahim menegur lidah rasmi Pas itu yang dikatakan banyak melaporkan ucapan pemimpin pembangkang lain berbanding Pas.
#Bersih 4.0 #chua #hudud #Muktamar #PAS #pemuda
;