Pemuda Pas Selangor desak siasatan terperinci skandal INSAN
Sinar Harian
Ogos 24, 2023 18:38 MYT
Ogos 24, 2023 18:38 MYT
SHAH ALAM : Pemuda Pas Selangor mendesak siasatan terperinci dijalankan terhadap skandal Skim Insuran Am Selangor (INSAN) yang didakwa rakyat Selangor didaftarkan di dalam skim itu tanpa izin penerima.
Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, didapati pengguna didaftarkan bawah skim ini sejak 2022 serta berstatus aktif dan dijadualkan luput pada November tahun ini.
Menurutnya, beberapa persoalan besar perlu dijawab oleh pentadbiran Selangor berkenaan antaranya berkenaan status syarikat swasta yang mengendali projek itu.
"Kerajaan negeri juga perlu menjelaskan kedudukan bekas Exco Negeri, Datuk Teng Chang Khim sebagai pengarah (syarikat) yang jelas merupakan satu pertembungan kepentingan peribadi dalam urusan ini.
"Kenyataan berkenaan isu ini juga tidak konsisten contohnya Chang Khim pada 2022 menggambarkan seolah-olah skim ini perlu dimohon, namun hal ini bertentangan dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyatakan skim ini baru di peringkat 'prapendaftaran' yang hanya akan aktif apabila diisi sendiri oleh rakyat," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Pada Selasa, timbul isu pertikaian pengguna didaftarkan tanpa kebenaran menerusi INSAN didakwa menggunakan data peribadi tanpa kebenaran.
Isu tersebut tersebar di media sosial telah menimbulkan kebimbangan awam tentang tahap keselamatan data peribadi.
Mohamed Sukri berkata, sebagai satu produk kewangan, skim insurans ini tidak boleh didaftarkan secara paksa tanpa izin dan pengetahuan penerima manfaat yang melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
"Pemuda Pas Selangor menuntut penjelasan tuntas Amirudin serta barisan kepimpinan kerajaan negeri. Pada masa sama menuntut isu ini disiasat oleh pihak berkuasa secara mendalam.
"Kami turut menasihatkan kepada rakyat yang telah mendapati nama tersenarai dalam skim insurans tanpa izin untuk membuat laporan polis sebagai langkah melindungi keselamatan data peribadi anda," katanya. - Sinar Harian