Pemuda PAS: Jangan abaikan penyokong bukan Islam

Irwan Muhammad Zain
November 21, 2013 06:11 MYT
Pemuda PAS digesa supaya tidak mengabaikan penyokong bukan Islam parti itu terutamanya kebajikan kelompok berkenaan.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh perwakilan Pemuda PAS Tebrau, Shamsul Bakti yang kecewa dengan sikap DPPM yang disifatkan tidak mengambil berat mengenai keperluan ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) yang mula ditubuhkan pada 2010.
"Kita seolah-olah mengabaikan kebajikan mereka dari banyak aspek termasuk dalam soal mengiktiraf dan mendekatkan diri mereka dengan Islam.
"Perkara paling mudah ialah kita gagal menyediakan kad keahlian PAS. Kita kena faham ahli bukan Islam ini mahu bukti yang mengiktiraf penglibatan mereka dalam parti ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi pembentangan laporan tahunan dan penyata kewangan di Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat ke-54 di sini, Khamis.
Shamsul berkata, Pemuda PAS sepatutnya mendekati ahli DHPP agar Islam tidak dilihat eksklusif kepada penganutnya sahaja.
"Kita berjaya tubuh DHPP, kerana mereka rasa yakin dengan perjuangan PAS.
"Tapi kita perlu mengambil peluang itu supaya suatu hari nanti dengan izin Allah mereka akan lebih dekat dengan Islam. Peluang ini yang gagal dimainkan oleh Pemuda PAS," katanya.
#DHPP #Muktamar #PAS #pemuda