Pemuda nafi pandu melulu sebabkan kematian pasangan OKU
Shuhada Abdul Kadir
Julai 14, 2022 12:46 MYT
Julai 14, 2022 12:46 MYT
JASIN: Seorang juruteknik kilang yang juga pemandu Perodua Myvi yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan sepasang suami isteri orang kelainan upaya (OKU) maut dalam nahas bulan lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini hari ini.
Tertuduh, Amirul Anwar Mohamed, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Siti Khairiah Abdul Razak.
Mengikut pertuduhan, pemuda berkenaan didakwa memandu kenderaan secara melulu atau dengan
merbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri Ezuddin Mohammad, 50, dan Surayah Muhamat, 46.
Kesalahan itu dilakukan sekitar pukul 7.45 pagi di Jalan Serkam Pantai - Merlimau, di sini, pada 6 Jun lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Pindaan 1999) yang memperuntukkan hukuman penjara minima lima tahun dan maksima 10 tahun dan denda antara RM 20,000 hingga RM 50,000.
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon mahkamah menetapkan jaminan RM30,000 serta menggantung lesen memandu tertuduh.
Tertuduh yang diwakili peguam Mohd Fadzlullah Ramlee bagaimanapun merayu jumlah jaminan berkenaan dikurangkan dengan alasan tertuduh menjaga ayahnya yang kurang sihat.
Tambahnya, kesalahan dilakukan tertuduh juga berkemungkinan di luar jangka memandangkan keluar lewat malam bukan budaya kebiasaanya.
Siti Khairiah dalam penghakimannya kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM12,000 dengan dua penjamin serta mengarahkan lesen memandu lelaki itu digantung sepanjang perbicaraan berjalan.
Mahkamah turut menetapkan 29 Ogos ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri maut selepas motosikal ditunggang, dirempuh sebuah Perodua Myvi dipercayai dipandu lelaki mabuk dalam nahas membabitkan empat kenderaan.
Dalam kejadian itu, pasangan suami isteri yang menunggang Yamaha Ego meninggal dunia di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.
Pasangan itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Melaka ke Merlimau sebelum tiba-tiba sebuah Perodua Myvi dari arah Merlimau terbabas masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal ditunggangi mangsa.