Pemuda menderita diabetes kronik rayu bantuan
Astro Awani
Jun 27, 2015 22:12 MYT
Jun 27, 2015 22:12 MYT
Hilang berat badan sebanyak 68 kilogram dalam masa dua tahun dan kini terpaksa bergantung kepada empat suntikan insulin setiap hari untuk terus hidup.
Begitulah nasib yang menimpa seorang pemuda berusia 25 tahun dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang akibat terlalu obses dengan minuman berkarbonat.
Kini, Khairul Helmi Roslan dari Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah hanya mampu berdoa agar kembali sihat bagi membolehkannya menjalani kehidupan seperti orang lain.
Menyingkap keperitan yang ditanggungnya, Khairul berkata dia disahkan menghidap penyakit diabetes kronik itu dua tahun lalu selepas mengalami gangguan selera makan.
Sejak itu, kesihatannya semakin merosot dan berat badannya menyusut mendadak daripada105 kilogram kepada hanya 37 kilogram.
Kesihatan Khairul semakin merosot dari sehari ke sehari dan kini dia terpaksa bergantung kepada empat suntikan insulin setiap hari selain vitamin dan susu.
“Badan saya menjadi lemah dan menyusut hari demi hari. Saya hanya tahu saya mengidap penyakit kencing manis selepas saya diperiksa di hospital,” kata Khairul.
Khairul yang bergantung kepada bantuan adik perempuannya mengakui penyakitnya itu berpunca daripada kegemaran melampaunya terhadap minuman berkarbonat dan teh tarik.
Tambahnya, beliau berharap dapat sembuh seperti sediakala walaupun doktor memaklumkan penyakitnya sudah di tahap kronik dan mengambil masa yang lama untuk sembuh.
Sementara itu, ibunya Rosmah Sulaiman berkata perbelanjaan perubatan Khairul hampir RM400 sebulan -- agak tinggi bagi keluarga itu yang bergantung kepada pendapatan sebagai pembantu kedai makan dan adik perempuan Khairul yang bekerja sebagai operator pengeluaran.
Kata Rosmah, walaupun tinggal bersama suami baharu, namun tanggungjawabnya sebagai ibu tidak pernah diabaikan dan akan menjenguk anak lelakinya itu setiap kali habis waktu bekerja.
“Kita sudah usaha macam-macam daripada rawatan kampung kepada di hospital. Dalam keadaan seperti ini doktor memberitahu dia boleh pulih daripada penyakitnya itu tetapi akan mengambil masa sedikit. Bagaimanapun, doktor tidak mahu bagi harapan sangat,” katanya.
Dalam pada itu, dia melahirkan rasa terkilan apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menuduhnya mengabaikan Khairul dan tidak pernah menjenguk anak lelakinya itu.
“Memang saya rasa sangat terkilan sebab ia tidak benar. Mereka kata macam-macam tapi hanya keluarga dan anak-anak sahaja yang tahu,” tambahnya.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan, sumbangan boleh dibuat menerusi nombor akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0700141000101976 atas nama Rosmah binti Sulaiman.