Pemuda maut terjatuh dari tingkat empat PPR

Astro Awani
November 30, 2019 13:39 MYT
Muhammad Danial dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari tingkat empat pangsapuri dalam kejadian malam tadi. - Astro AWANI
Seorang pemuda maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah pangsapuri 17 tingkat di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 8.30 malam di Pangsapuri Perumahan Rakyat (PPR) di Padang Hiliran itu, mangsa Muhammad Danial Mohd Anuar, 20 tahun, dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dari ketinggian tersebut.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan anggota badan.
Sementara itu, seorang penghuni PPR, Ahmad Haslan Abdul Rahman berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah menonton televisyen.
Sejurus kemudian, dia terdengar satu bunyi kuat namun tidak menghiraukannya kerana menyangkakan bunyi bising itu datang dari kanak-kanak yang bermain di kawasan itu.
"Dengar macam benda jatuh, bunyi kuat. Kita di sini biasa dengar (bunyi begitu), tiada apa-apa. Selepas itu, dengar orang kata, ada orang jatuh. Saya turun bawah.
"Tengok-tengok, sudah ada orang angkat jenazah," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini untuk bedah siasat.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, ACP Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
#Ahmad Haslan Abdul Rahman #cedera parah #Hospital Sultanah Nur Zahirah #jatuh #jenazah #mangsa #maut #mayat #meninggal dunia #Padang Hiliran #pangsapuri #penghuni PPR #PPR #Razmi Mohd Gunnos #siasatan
;