Pemuda maut motosikal rempuh kereta

Adie Sufian Zulkefli
Januari 7, 2023 14:39 MYT
Muhammad Shahniezar Azizan (gambar kecil) yang berusia 20 tahun maut setelah motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta di Kilometer 61, Jalan Alor Setar-Butterworth pada Sabtu. - Gambar ihsan PDRM
SUNGAI PETANI: Seorang pemuda maut setelah motosikal ditungganginya merempuh sebuah kereta di Kilometer 61, Jalan Alor Setar-Butterworth pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian dipercayai berlaku pada jam 7.07 pagi itu mengakibatkan mangsa, Muhammad Shahniezar Azizan, 20, maut.
Menurut Zaidy, siasatan awal polis mendapati mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 sedang bergerak dari arah menara jam besar Sungai Petani menghala ke arah Bakar Arang.
“Sebaik tiba di lokasi sebuah kereta jenis Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 77 tahun yang berada di kiri jalan terus keluar secara mengejut dari simpang.
“Mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta sehingga mengakibatkan mangsa tercampak ke atas jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zaidy berkata, mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani oleh ambulan namun mangsa meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Zon Merah.
Katanya, pemandu kereta itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya siasatan polis mendapati berpunca daripada pemandu kereta yang keluar simpang secara mengejut sehingga menghalang laluan motosikal mengakibatkan kemalangan berlaku.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#pemuda maut #motosikal rempuh kereta #Jalan Alor Setar-Butterworth #proton wira
;