Pemuda maut kereta bertembung bas ekspres

Nur Fazlizai Ali
Februari 10, 2022 06:55 MYT
Pertembungan itu juga menyebabkan pemandu bas berkenaan mengalami kecederaan ringan di pipi kanan. - Astro AWANI
MARANG: Seorang pemuda maut selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas ekspres.
Nahas berlaku di Kilometer 40 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Merchang, Marang kira-kira jam 6.15 petang pada Khamis.
Insiden itu menyebabkan mangsa, Tan Brian Seong, 36, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Superintendan Ismail Man berkata, ketika kejadian bas yang dipandu lelaki berusia 67 tahun itu dari Shah Alam menghala ke Kuala Terengganu.
Katanya sejurus tiba di lokasi kejadian, kereta jenis Perodua Myvi dan bas berkenaan dikatakan telah bertembung.
Jelasnya pertembungan itu juga menyebabkan pemandu bas berkenaan mengalami kecederaan ringan di pipi kanan dan dihantar ke Klinik Kesihatan Merchang untuk menerima rawatan.
Manakala mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.
#Nahas #maut #bas ekspres #bertembung
;