Pemuda maut elak kerbau
Junaidi Ladjana
Jun 9, 2021 14:31 MYT
Jun 9, 2021 14:31 MYT
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh seekor kerbau dalam kejadian di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, mangsa Muhizan Shazry Simon, 25, yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss seorang diri, dikatakan dalam perjalanan dari arah pekan Inanam menuju ke Kampung Kionsom.
Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengelak seekor kerbau yang tiba-tiba melintasi jalan berkenaan sebelum terbabas.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian menerusi talian kecemasan MERS 999.
Katanya, laporan yang diterima daripada orang awam itu mendakwa berlaku satu kemalangan di jalan berkenaan membabitkan sebuah motosikal dan seekor kerbau.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati terbaring dalam keadaan parah bersama motosikal yang ditunggang.
Menurutnya, saksi turut mendakwa melihat seekor kerbau yang dipercayai mengalami kecederaan.
Mohd Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Likas, Dr Nurul Maslina Nor Azizi pada jam 8.03 malam.
Katanya, mangsa dipercayai tidak mabuk namun sampel darah akan diambil semasa proses bedah siasat untuk analisis alkohol dan dadah.
"Keadaan tempat kejadian gelap tanpa lampu jalan dan permukaan jalan sedikit cerun menuruni bukit.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
#seekor kerbau
#muhizan shazry simon
#Inanam
#kampung kionsom
#motosikal
#kemalangan
#parah
#proses bedah siasat