Pemuda maut digilis kereta api
Ruzaini Zulkepli
April 18, 2019 10:49 MYT
April 18, 2019 10:49 MYT
Bahana 'tertidur' di landasan kereta api, seorang lelaki warga asing yang disyaki khayal angkara menghidu gam, maut selepas kepalanya digilis kereta api dalam kejadian di Kilometer 1.5 Stesen Beaufort, di sini, pagi Khamis.
Dalam kejadian jam 5.02 pagi itu, mangsa, berusia 20-an yang hanya dikenali sebagai Totoh, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak dalam kenyataan medianya hari ini berkata, ketika kejadian pemandu kereta api itu melihat kelibat mangsa yang terbaring di atas landasan kereta api berkenaan sebelum bertindak menarik brek kecemasan.
"Siasatan awal mendapati pada jam 5.02 pagi, kereta api bertolak dari stesen Beaufort menuju ke Tg Aru dengan kelajuan 35 kilometer sejam.
"Setibanya di tempat kejadian, pemandu terlihat satu objek melintang di landasan kereta api yang pada mulanya disangka longgokan sampah.
"Bagaimanapun, pada jarak kira-kira 20 meter, pemandu kereta api tersebut menyedari objek yang disangkakan sampah itu sebenarnya mangsa, lalu terus menarik brek kecemasan bagi memberhentikan kereta api namun tidak sempat dan terus menyeret dan menggilis mangsa," katanya.
Mengulas lanjut, Azmir berkata, mangsa yang tidak mempunyai dokumen itu parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Difahamkan, pemandu kereta api itu mempunyai 11 tahun pengalaman memandu kereta api.
"Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat dan tindakan lanjut, "katanya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.