Pemuda lemas ketika selamatkan rakan

Sinar Harian
Oktober 1, 2023 09:15 MYT
Mangsa diberikan bantuan awal oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian. - Foto Bomba Perak/Sinar Harian
LUMUT: Niat murni seorang lelaki cuba menyelamatkan rakannya yang dibawa arus bertukar tragedi apabila dia lemas di Pantai Pasir Bogak, Pulau Pangkor dekat sini pada Sabtu.
Dalam kejadian sekitar jam 3 petang itu, mangsa berusia 20 tahun berkunjung ke pantai bersama rakan untuk aktiviti riadah sebelum menyedari seorang rakannya lemas ketika mandi.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, rakannya berjaya menyelamatkan diri, manakala lelaki itu hilang di pantai akibat lemas.
"Operasi mencari telah digerakkan dan menjumpai mangsa.
"Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Pulau Pangkor pada jam 3.45 petang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Seri Manjung mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian itu.
"Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
BACA: Lelaki 21 tahun ditemukan lemas di Pantai Pasir Bogak
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa dijumpai orang awam dalam jarak tujuh meter dari pantai.
"Usaha awal menyelamat mangsa dilakukan menerusi bantuan pernafasan (CPR) oleh pegawai perubatan.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke klinik kesihatan oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan disahkan meninggal dunia," katanya. - Sinar Harian
#lemas #Pulau Pangkor #Pantai Pasir Bogak #Pantai
;